PAHANG: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal amat berbesar hati atas mandat mewakili Panglima Tentera Darat (PTD) bagi menzahirkan penghormatan terakhir kepada Brig Jen Mohd Yazid Salim dan Brig Jen Mohd Azhar Zainal Abidin.
KPPP merakamkan ucapan jutaan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Brig Jen Mohd Yazid Salim dan Brig Jen Mohd Azhar Zainal Abidin diatas segala jasa dan khidmat bakti selama 40 tahun lebih perkhidmatan di dalam Tentera Darat (TD).
“Sudah menjadi resmi dunia tiada apa yang kekal, kerjaya tercinta selama puluhan tahun akan ditinggalkan jua akhirnya.
“Sesungguhnya persaraan mereka berdua adalah satu kehilangan yang besar kepada perkhidmatan dan kor,” jelas KPPP.
KPPP berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Brig Jen Mohd Yazid Salim dan Brig Jen Mohd Azhar Zainal Abidin di Dewan Serbaguna Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 23 Feb 2021.
Mengimbas keperibadian Brig Jen Mohd Yazid Salim, beliau mula menyertai tentera di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 9 Okt 1980 dan pada awal tahun 2014, beliau memainkan peranan penting selaku Ketua Zon Tengah, Komponen Perisikan Pertahanan ESSCOM seterusnya menamatkan karier sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) Perisikan Bersama J2 dari tahun 2015 sehingga 2020.
Manakala, Brig Jen Mohd Azhar Zainal Abidin pula mula menyertai tentera pada 2 Feb 1981 dan pernah bertugas sebagai Penasihat Pertahanan di Pakistan dari tahun 2012 hingga 2017 seterusnya menutup tirai kerjaya sebagai Inspektorat Jeneral Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Perbarisan perhargaan ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan seramai 12 pegawai dan 79 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan diketuai oleh Ketua Kontinjen Perbarisan, Lt Kol Ahmad Ridzalman Jamal.
Simbolik acara diakhiri dengan send off mengikut SOP bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Mohammad Anuar Mohammad Ali dan Pengarah KRD, Kol Mohd Razali Alias.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon