KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menegaskan kepada pegawai kanan yang baharu dinaikkan pangkat bahawa ciri-ciri kebijaksanaan atau wisdom amat perlu dalam pelaksanaan penugasan khususnya dalam Managing Resources di tempat baharu kerana ianya sangat penting bagi menentukan kelangsungan sesebuah organisasi pertahanan.
“Saya menyeru kepada saudara untuk membina ciri-ciri kepimpinan ketenteraan seterusnya dapat mempamerkan mutu kerja yang lebih tinggi dan membanggakan Tentera Darat (TD).
“Kenaikan pangkat ini akan memberi ruang yang lebih luas dalam melaksanakan segala kebaikan dan kebajikan khususnya di tempat baharu sekaligus bersesuaian dengan konsep Pelestarian Kesejahteraan Warga yang memberi penumpuan kepada peningkatan kualiti hidup warga tentera,” jelas PTD.
PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 24 Feb 2021.
Tambahnya lagi, prinsip dan tindakan berdasarkan profesional ketenteraan perlu diterapkan dan diamalkan agar kita dihormati dan disanjung di dalam mahupun di luar organisasi.
Sebelum mengakhiri ucapan, PTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para isteri yang tidak pernah jemu memberi dorongan dan sokongan kepada pasangan masing-masing.
Terdahulu PTD telah menyempurnakan acara pemakaian pangkat melibatkan seramai enam pegawai kanan didahului dengan Brig Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron yang dinaikkan pangkat Mej Jen dan akan menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) MK TD – Cwg Log.
Majlis diteruskan dengan tiga pegawai kanan dinaikkan pangkat Kol ke Brig Jen iaitu Kol Hasanudin Ab Ghani, Kol Hamdan A. Samad dan Kol Othman Mustaffa manakala dua pegawai dinaikkan pangkat dari Lt Kol ke Kol.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi