Bersama PemimpinCovid19MINDEFSemasa

Program Vaksinasi COVID-19 Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama dalam Program Vaksinasi Peringkat Kementerian Pertahanan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Tuanku Mizan) pada 26 Feb 2021.

Program ini berlanjutan daripada Fasa 1 Program Immunisasi COVID-19 Nasional bagi melindungi barisan hadapan yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketibaan Menteri Kanan Pertahanan di HAT Tuanku Mizan disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM bersama Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain yang turut disenaraikan sebagai penerima vaksin pertama COVID-19 ATM.

Menteri Kanan Pertahanan kemudian dibawa melalui lima stesen saringan untuk menjalani proses vaksinasi termasuk melalui saringan gejala, suhu dan stesen pemerhatian selepas diberikan suntikan vaksin COVID-19.

ATM telah menerima sebanyak 10,530 dos daripada 84,240 dos vaksin bagi 42,120 anggota untuk Fasa 1 dimana ianya disimpan di empat Pusat Simpanan Vaksin ATM di 93 Depoh Perubatan dan Pergigian, HAT Tuanku Mizan, HAT Terendak, HAT Pangkalan Lumut dan Hospital Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kota Kinabalu.

Kumpulan sasar pertama penerima vaksin adalah anggota Perkhidmatan Kesihatan ATM, anggota ATM yang bertugas di OP PENAWAR, OP BENTENG, Misi Luar Negara di UNIFIl dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao.

Program vaksinasi Fasa 1 warga ATM dijangka dapat diselesaikan pada 30 Apr 2021 dan baki 79,041 pegawai dan anggota ATM akan menerima vaksin di dalam fasa kedua.

Selain itu seramai 20 pegawai kanan TD dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang bertugas di Markas Tentera Darat menerima suntikan vaksin pada hari bersejarah ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button