TERENGGANU: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua inisiatif baharu bagi penambahbaikan fasiliti di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) (Para).
“Saya meluluskan peruntukan bagi menaik taraf 196 unit Rumah Keluarga Angkatan Keluarga Tentera (RKAT) Kelas G jenis dua bilik kepada tiga bilik pada tahun 2022.
“Selain itu peruntukan bagi menaik taraf Dewan Sri Terengganu juga diluluskan bagi kemudahan warga 18 RAMD (Para),” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapanya semasa Lawatan Kerja ke 18 RAMD (Para) di iringi Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain pada 20 Mac 2021.
Menteri Kanan Pertahanan telah meninjau ke kawasan kem bagi melihat tapak masjid baharu di mana projek ini telah ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos pembinaan berjumlah RM5 juta yang mampu menampung kapasiti seramai 1,000 jemaah.
Selain itu ianya turut merangkumi Bilik Jenazah, Pondok Pengawal, tangki air serta kerja-kerja perkhidmatan yang mana projek pembinaan ini telah bermula pada 1 Jan 2021 dan akan berakhir pada 3 Nov 2022.
Seterusnya, deligasi lawatan diteruskan dengan aktiviti lawatan ke tapak Poliklinik Kesihatan di mana tapak projek ini diselia penuh oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan dan telah diperuntukan RM25 juta yang memiliki kemudahan seperti Klinik Tentera, Klinik Keluarga, Jabatan Kecemasan, Bilik X-Ray dan makmal.
Bagi perkembangan projek pembinaan masjid taklimat disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir Yusuf Ghani, manakala projek Poliklinik Kesihatan pula, ditaklimatkan oleh Jurutera Kerja Kanan 2, JKR Terengganu, Ir Shahrizam Mat Salleh.
Terdahulu dari itu, Menteri Kanan Pertahanan diberikan pembentangan ketumbukan 18 RAMD (Para) oleh Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal berkenaan perkara G, A, dan Q bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas berkenaan penugasan pasukan sepanjang tahun 2020 dan 2021.
Aktiviti seumpama ini sangat signifikan dan bertetapan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28, Pelestarian Kesejahteraan Warga yang memberikan penumpuan kepada aspek kebajikan meliputi pembangunan kemudahan awam dan kesihatan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz serta Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid.
Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul