KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menyempurnakan Pelancaran Buku In Pursuit of Quality Soldiering: The Story of the Man Behind The Malaysian Green Beret yang merupakan hasil tulisan mantan Panglima Angkatan Tentera Ke-12, Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 8 Apr 2021.
Buku hasil terbitan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malayisa (ATM) ini berkisarkan fakta sebenar tentang kerjaya dan pengalaman penulis sepanjang berkhidmat di dalam Tentera Darat (TD) pada tahun 1953 sehingga 1995.
Selain itu, kandungan buku ini juga mencoretkan tahap-tahap penubuhan Gerup Gerak Khas (GGK) serta operasi-operasi khas yang dilaksanakan oleh unit GGK semasa menentang Komunis dan musuh-musuh negara yang tidak pernah diceritakan bagi menyuntik semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan generasi masa kini.
Pada masa yang sama, perkongsian pelbagai cabaran dan pengalaman penulis dapat dijadikan rujukan serta diteladani oleh pemimpin masa kini dan generasi akan datang dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada diceroboh atau ditakluki pihak luar.
Mengimbas keperibadian Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B), beliau dilahirkan pada 12 Dis 1939 di Pasir Mas, Kelantan dan menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Persekutuan pada tahun 1958 serta telah ditauliahkan sebagai Lt M pada 13 Dis 1959 dan unit pertama adalah Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).
Sepanjang kerjaya dalam perkhidmatan beliau telah menghadiri pelbagai kursus kepakaran dan kerjaya di dalam dan luar negara, antaranya ialah Special Forces Officer Course, United States (1966), Small Scale Amphibious Operations, Australia (1967) serta National Defence College, India (1986).
Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting dalam cabang pemerintah, staf dan kejurulatihan iaitu Pegawai Memerintah Rejimen Gerak Khas, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khas ATM, Ketua Staf 4 Div, Panglima 21 GGK, Panglima Tentera Darat Ke-13 dan menjadi satu-satunya Komando yang menjawat jawatan PAT.
Sementara itu, di dalam ucapan Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B), beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap segala usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan coretan pengalaman serta perkara yang telah dilalui beliau sepanjang perkhidmatan dapat dibukukan sebagai rujukan kepada generasi baharu.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi, Naib Canselor UPNM, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Mantan PTD Ketujuh, Jen Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali Md Seth.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi