KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menekankan agar semua peringkat pegawai dan anggota Tentera Darat (TD) agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Kesedaran dari semua pihak amatlah perlu bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dari terus meningkat dan kita perlu sentiasa berdoa agar penularan wabak ini akan bertambah baik.
“Saya juga mendoakan agar seluruh warga TD dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menunaikan ibadah puasa dibulan Ramadan ini dengan lebih sempurna serta disyukuri,” jelas PTD.
PTD berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Markas Tentera Darat (MKTD) peringkat TD bertempat di Masjid Angkatan Tentera Kem Perdana Sg Besi pada 16 Apr 2021.
Terdahulu ketibaan PTD dan isteri diperkarangan masjid disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman bersama Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Majlis dimulakan dengan berbuka puasa dan selepas itu PTD bersama warga MKTD menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Selesai solat Terawih berjemaah, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Mock Cheque Ihya’ Ramadan oleh PTD kepada enam formasi iaitu Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Markas Tentera Darat, Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat, Markas Gerup Gerak Khas dan Markas 10 Briged (Para) yang diperuntukkan sebanyak RM105,500.00 bagi sumbangan kepada masjid dan surau di bawah TD.
Seterusnya, PTD menyampaikan sumbangan kepada penerima dari kalangan asnaf, anak yatim serta balu anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) iaitu sumbangan Bantuan Tabung Zakat ATM kepada kepada 10 orang penerima, terdiri daripada enam orang asnaf dari kalangan warga TD dan empat orang anak-anak yatim dari Sekolah Tahfiz Anak Yatim (STAY) ATM dimana setiap penerima menerima wang tunai berjumlah RM200.00.
Di samping itu, sumbangan Sinar Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) kepada dua orang balu anggota TD yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya iaitu Puan Nur Farrah Adillah Meor Zaini balu kepada Allahyarham LKpl Mohamad Fazril Amiruddin dan Puan Liana Jamil balu kepada Allahyarham Kpl Sayidin Luat, yang menerima sumbangan wang tunai RM200.00 selama empat bulan bagi setiap orang anak.
Selain itu, 15 orang anggota TD turut menerima Bantuan Musa’adah ATM berjumlah RM100.00 dan barangan keperluan asas bernilai RM100.00 di mana sumbangan ini disalurkan bertujuan membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf Perisikan, Lt Jen Dato’ Rezil Shahidin, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul