KeganasanRencana

PENDEMIK COVID-19

POTENSI ANCAMAN BIO-TERORISME

KEPADA KESELAMATAN NEGARA

[dropcap]A[/dropcap]ncaman serangan senjata biologi dan bio-terorisme bukanlah merupakan isu baharu dalam konteks terorisme. Insiden serangan biologi seperti serangan gas Sarin (Nerve Agent Sarin) oleh kumpulan Aum Shinrikyo di Tokyo Subway, Jepun pada 20 Mac 1995 merupakan salah satu bukti dan indikasi ancaman bio-terorisme di era 90an. Indikasi kedua adalah percubaan Al-Qaeda dalam melancarkan serangan biologi dan kimia melalui penemuan bukti dokumen berkaitan kerjasama pemimpin Al-Qaeda yang juga pakar Fizik, Ayman Al Zawahiri dengan pakar mikro-biologi dari Pakistan pada tahun 2001 di Kandahar, Afghanistan. Al-Qaeda juga pernah menggunakan khidmat seorang rakyat Malaysia iaitu seorang lulusan dalam bidang bio-kimia dan juga bekas anggota ATM, Yazid Sufaat untuk menghasilkan senjata bio-kimia jenis Antraks pada tahun 2001.

Serangan bio-terorisme Aum Shinrikyo 1995
Serangan bio-terorisme Aum Shinrikyo 1995
Yazid Sufaat
Yazid Sufaat

Abad ke 21 bakal menyaksikan evolusi ancaman bio-terorisme seiringan dengan kemampuan pembangunan sains dan teknologi canggih serta keupayaan rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis. Pada ketika ini, penularan pandemik Coronavirus atau COVID-19 telah dijadikan penanda aras akan ancaman bio-terorisme ke tahap yang tinggi ekoran risiko dan kesan merbahaya COVID-19 kepada manusia sejagat.

Ancaman COVID-19

Penularan wabak COVID-19 telah menjangkiti lebih 170 juta orang penduduk di seluruh dunia dengan mencatatkan kematian lebih 3.5 juta orang. Statistik jangkitan dan kematian terus meningkat ketika artikel ini ditulis. Virus ini boleh berjangkit melalui titisan air ataupun lendir daripada pembawa kepada individu lain melalui batuk, bersin dan percakapan dalam jarak yang dekat. Ia mula dikesan di Wuhan, China pada bulan Disember 2019 dan mula merebak keluar dari wilayah tersebut pada bulan Januari 2020. Seterusnya, merebak ke rantau-rantau lain seperti Eropah, Asia Tenggara, Asia Selatan, Asia Barat, Amerika Selatan dan Amerika Utara. Wabak COVID-19 telahpun diisytiharkan sebagai pandemik oleh World Health Organisation (WHO) pada 11 Mac 2020.

Negara-negara yang terjejas amat terkesan dengan penularannya dan langkah menangani penyebaran COVID-19 telahpun dilaksanakan di pelbagai negara seperti pelaksanaan Perintah Berkurung. Pada masa yang sama, ia juga telah mempengaruhi situasi dan aktiviti keganasan global termasuk potensi ancaman bio-terorisme.

Ancaman Bio-Terorisme Di Abad 21

Definisi serangan bio-terorisme ataupun biological attack adalah perbuatan keganasan yang menggunakan agen-agen mahupun mikro-organisma kimia dan biologi seperti virus, bakteria, kulat dan toksin yang bertindakbalas untuk melumpuh, meracuni dan membunuh manusia serta hidupan lain. Manakala Biological Weapon dikategorikan sebagai Weapons of Mass Destruction (WMD) yang terdiri daripada elemen kimia, biologi, radiologi dan nuklear (CBRN). Kedua-duanya berupaya menyebabkan serangan berimpak tinggi walaupun digunakan dalam kuantiti yang kecil.

Sepertimana sebelum ini, pandemik COVID-19 mempamerkan ancaman permulaan bio-terorisme pada masa kini. Ia secara tidak langsung telah mencetuskan idea dan peluang kepada rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis yang berhasrat untuk memiliki senjata bio-terorisme bagi kegunaan serangan keganasan pada masa akan datang.

Naratif Bio-Terorisme

Hasrat untuk menggunakan virus sebagai kaedah bagi melakukan serangan ini dapat diperhatikan dalam naratif-naratif gerakan ekstremis dan rangkaian pengganas yang berpendapat kemunculan wabak COVID-19 sebagai senjata ampuh yang boleh memberi implikasi buruk kepada sosio-ekonomi dan keselamatan global secara total. Di samping itu, ia boleh memberi leverage kepada mereka dalam mempengaruhi dasar dan polisi sesebuah negara agar akur dengan permintaan serta perjuangan sesuatu kumpulan.

Situasi lockdown dan arahan Kawalan Pergerakan di pelbagai negara dunia juga memberi peluang dan masa kepada gerakan-gerakan ini untuk menyebarkan propaganda dan naratif bio-terorisme menerusi Internet untuk menarik perhatian orang awam dengan perjuangan mereka. Kumpulan-kumpulan radikal turut mengambil peluang ini untuk mengumpul pengikut dan merekrut anggota baharu. Antara naratif gerakan-gerakan pengganas dan ekstremis ini adalah seperti berikut:

Daesh – Daesh menggunakan naratif “COVID-19 sebagai Tentera Allah” dalam memanipulasi aspek jihad bagi menggalakkan pengikut dan rangkaiannya terus melakukan serangan keganasan di negara masing-masing serta mensasarkan orang bukan Islam.

Propaganda Daesh
Propaganda Daesh

Al-Qaeda – Naratif COVID-19 oleh Al-Qaeda ditujukan kepada golongan bukan Islam dengan menyebarkan gesaan agar mereka mempelajari dan mendalami ajaran Islam semasa situasi lockdown.

Gerakan Ekstremis – Gerakan berhaluan kanan, Fasisme ataupun White Supremacist menggunakan platform Chatrooms dalam membincangkan topik bio-terorisme. Gerakan ini turut mencetuskan sentimen rasisme melalui teori konspirasi ‘Great Replacement’ dengan menuduh wabak COVID-19 dibawa oleh rakyat China, Yahudi dan masyarakat Asian khususnya golongan imigran di Barat.

White Supremacist
Propoganda White Supremacist

Penilaian dan Analisa

Walaupun fenomena ini amat membimbangkan, namun, persoalannya adalah sejauhmanakah rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis ini berpotensi memiliki dan menghasilkan senjata bio-terorisme di era ini untuk melakukan serangan dan keganasan yang boleh memberi implikasi keselamatan di sesebuah negara?. Antara penilaian dan analisa adalah seperti berikut:

Kempen War on Terror. Inisiatif bio-terorisme oleh rangkaian pengganas seperti Al-Qaeda dan Daesh sememangnya pernah dirancang kedua-dua organisasi pengganas ini. Modus operandi bio-terorisme Al-Qaeda mula dikesan dalam perancangan kumpulan ini sejak tahun 1999 lagi. Namun, ia masih gagal dibangunkan ekoran kempen War on Terror oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas rangkaian kumpulan ini di Afghanistan pada tahun 2003. Manakala, ramai pengikut dan anggota rangkaiannya juga ditangkap dan terbunuh dalam kempen ini yang menyebabkan objektif bio-terorisme Al-Qaeda masih gagal dijayakan sehingga kini.

Kemampuan Kepakaran dan Teknologi Yang Terhad. Kekangan untuk mendapatkan kepakaran bagi mengendalikan agen merbahaya bio-kimia ini juga menggagalkan kemampuan rangkaian pengganas. Sebagai contoh, pada tahun 2017, militan Daesh gagal dalam ujian bio-terorisme jenis Ricin ke atas tahanannya walaupun ujian tersebut berjaya membunuh tikus makmal. Selain itu, teknologi yang terhad juga menjadi salah satu faktor cabaran untuk rangkaian pengganas dalam menghasilkan agen-agen bio-terorisme ini kerana kebanyakan peralatan perubatan dan kajian berteknologi canggih ini hanya mampu dimiliki oleh sesebuah negara disebabkan kos pembelian dan penyelenggaraan yang tinggi. Kumpulan-kumpulan pengganas seperti Daesh dan Al-Qaeda masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan akses kepada kemudahan dan teknologi bio-kimia ini dengan cara merekrut pengikut dari kalangan ‘sympathizer’ yang mempunyai akses atau bekerja di fasiliti-fasiliti kerajaan. Justeru, aspek saringan dan pemantauan kakitangan awam adalah penting.

Risiko Pengendalian Yang Memudaratkan. Virus-virus pandemik seperti SARS dan COVID-19 adalah amat memudaratkan manusia yang sehingga kini tiada vaksin untuk merawatnya. Malahan, pengendalian patogen-patogen virus yang mudah berjangkit seperti smallpox, Ebola, Marburg dan Lassa juga berisiko tinggi yang mana kemampuan pencegahan dan pengendalian hanya boleh dilakukan oleh sesebuah negara kecuali Antraks yang mudah dikendalikan oleh rangkaian pengganas.

Potensi Ancaman Bio-terorisme Yang Rendah Namun Tidak Doleh Diabaikan. Setakat ini, potensi ancaman bio-terorisme adalah rendah kerana kekangan-kekangan tersebut. Meskipun rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut, adalah amat penting untuk kita tidak mengambil mudah dan mengabaikan potensi ancaman ini. Gerakan-gerakan pengganas berupaya melakukan apa sahaja cara bagi mendapatkan akses kepada bio-terorisme demi kelangsungan modus operandi mereka.  Pada ketika ini, pengikut Daesh aktif membincangkan topik ini di media sosial dan memberi fokus kepada agen Bubonic Plague yang boleh disebarkan melalui bakteria. Langkah berwaspada dan pemantauan berterusan perlu dilakukan sewajarnya ke atas perkembangan ini untuk mengelak rangkaian pengganas seperti Daesh, Al-Qaeda dan gerakan ekstremis lain daripada mengambil peluang yang berpihak kepada mereka untuk melancarkan serangan bio-terorisme.

Penutup

Ancaman bio-terorisme oleh rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis masih berada di tahap rendah disebabkan keupayaan serta akses mereka yang terhad namun tidak mustahil. Publisiti yang meluas tentang ancaman ini sebenarnya merupakan satu langkah berjaga-jaga yang harus diberi perhatian serius bagi mengelak sebarang potensi ancaman seumpama di sesebuah negara. Ini termasuk persediaan rapi dari segi pemantauan, saringan kakitangan yang bekerja di fasiliti-fasiliti bio-kimia milik kerajaan, pencegahan dan langkah tindakbalas sekiranya berhadapan dengan situasi bio-terorisme kelak.

Selain itu, perkongsian maklumat perisikan serta pendekatan diplomasi antara negara-negara adalah penting untuk menangani ancaman bio-terorisme. Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin serta Konvensyen Senjata Kimia 1975 adalah merupakan mekanisme untuk menangani ancaman bio-terorisme serta ancaman WMD. Adalah menjadi tanggungjawab sesebuah negara untuk terus memantau potensi ancaman bio-terorisme ini selaras dengan UN Security Council Resolution 1540.

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online