Bersama PemimpinKebajikanMINDEFSemasa

Program MINDEF Prihatin Bantu Warga KEMENTAH

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee atas kesudian menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) bagi menjayakan Program MINDEF Prihatin pada hari ini.

“Pendekatan kerjasama bersepadu dan merentasi Kementerian seperti ini sememangnya amat penting terutamanya di era pandemik yang serba mencabar ini yang mana kakitangan awam KEMENTAH dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga tidak terkecuali daripada menerima kesannya.

“Sejak program ini dilaksanakan pelbagai pihak daripada Bank Islam, Bantu-Bantu Malaysia, Koperasi Tentera dan PERNAMA telah tampil untuk menyalurkan sumbangan bakul makanan yang telah berjaya diagihkan kepada 9,000 penerima setakat ini.

“Kerjasama yang dijalinkan ini amat bermakna kerana ia dapat membantu warga ATM dan MINDEF khususnya yang berada di dalam kategori asnaf serta B40 dan ianya juga dapat membantu usaha MINDEF untuk membela kebajikan anggota, veteran ATM dan warga awam MINDEF khususnya dalam berhadapan situasi COVID – 19,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bakul Makanan Hasil Sumbangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di  Padang Kawad Kem KEMENTAH pada 6 Okt 2021.

Tambah Menteri Kanan Pertahanan, pada hari ini MINDEF lebih bertuah kerana mendapat sumbangan bakul makanan daripada FAMA melalui MAFI yang bakal dimanfaatkan untuk diberikan kepada 1,500 penerima yang terdiri daripada anggota ATM dan warga awam MINDEF.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

Gambar: Mohammad Nazif Mohd Zuki

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button