JOHOR: Seramai 88 Pegawai Kadet terlibat dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Awam Ke-39 Zon Selatan yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 7 Jan 2022.
Pegawai Kadet yang ditauliahkan pada hari ini terdiri daripada 49 Pegawai Kadet Lelaki dan 39 Pegawai Kadet Wanita yang mana mereka telah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).
Majlis ringkas pengisytiharan dan pemakaian pangkat ini dilaksanakan bagi menggantikan Perbarisan Pentauliahan yang kebiasaannya dilakukan di padang kawad bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam membendung serta memutuskan rantaian penularan COVID-19.
Acara ini dilaksanakan secara tertutup dengan penglibatan minimum tanpa kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga sepertimana kebiasaan terdahulu sesuai dengan norma baharu serta pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTM dianugerahkan kepada Lt M Umar Alfaruq Abdul Mutalib, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam manakala Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTHM dinobatkan kepada Lt M Amyrul Nordin yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknik dan Vokasional.
Kedua-dua Pegawai Kadet Terbaik dianugerahkan Pedang Kehormat sebagai hadiah atas semangat dan kesungguhan yang telah ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.
PTD mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai kadet yang telah berjaya ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Wataniah.
“Hasil kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang latihan, hari ini saudara dan saudari telah diiktiraf sebagai pegawai sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saudara dan saudari sepatutnya sedar bahawa anda adalah aset modal insan yang akan membantu angkatan tetap dan setiasa bersedia untuk diatur gerak bagi mengambil alih tanggungjawab daripada angkatan tetap.
“Adalah menjadi tanggungjawab saudara dan saudari untuk melapor ke Rejimen Siri 500 Askar Wataniah setelah ditauliahkan dan terus terlibat secara aktif di dalam aktiviti dan latihan Askar Wataniah agar pengetahuan ketenteraan yang dimiliki dapat dikembangkan serta menjadi seorang yang terlatih dan berjaya pada masa akan datang,” jelas PTD.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi dan Naib Canselor merangkap Komandan PALAPES UTM, Kol (Kehormat) Prof Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi