Bersama PemimpinHUTSemasa

69 Tahun RSD Terus Maju Seiring Perkembangan Teknologi Semasa

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Brig Jen Dato’ Ahmad Saifuddin Talha menyatakan RSD mendokong penuh hasrat Tentera Darat (TD) dalam pembangunan dan perkembangan teknologi komunikasi dan informasi seiring dengan misi, tugas dan peranan utama RSD iaitu merancang, menyedia, mengendali dan menyelenggara sistem komunikasi TD dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“RSD telah mencapai usia 69 tahun pada hari ini di mana banyak cabaran dan rintangan yang diharungi dengan penuh ketabahan dan kesungguhan sejak 15 Nov 1952 dicoretkan di dalam lipatan sejarah.

“Selaras dengan situasi geo-strategik, geo-politik, isu-isu semasa dan keperluan strategik ATM dan TD khasnya, RSD diperlukan bagi melengkapkan ketumbukan tentera secara holistik untuk mempertahankan kedua-dua wilayah.

“RSD dituntut untuk turut maju bersama ke hadapan dengan menilai kekuatan yang sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan dan cabaran yang perlu ditangani dari aspek strategik, operasional dan taktikal serta rancangan-rancangan perolehan peralatan komunikasi, peperangan elektronik, siber, dan teknologi berpandukan kepada Kertas Putih ‚Ä®Pertahanan (KPP), Pelan Strategik ATM, ‘Fourth Dimension Malaysian Armed Forces (4D MAF)’ dan Pelan Strategik TD, ‘ARMY 4NextG’,” jelas beliau.

Pengerusi Kor RSD berkata demikian dalam ucapannya semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-69 RSD di Padang Kawad Cawangan Rejimental, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) pada 15 Nov 2021.

Terdahulu, Pengerusi Kor RSD menerima tabik hormat dan memeriksa kontinjen perbarisan yang diketuai oleh Lt Kol Ahmad Shukri Samsudin dari Jabatan Arah RSD melibatkan seramai 15 pegawai dan 196 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan diiringi Brassband Wanita RSD.

Acara diteruskan dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada dua pegawai dan tujuh anggota LLP serta dua pegawai dan tujuh anggota LLP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang disempurnakan oleh Pengerusi Kor RSD.

Tambah beliau lagi, RSD juga sedang giat dalam rancangan perolehan aset-aset terkini berdasarkan blueprint komunikasi dan peperangan informasi bagi mempersiapkan RSD dengan era ancaman dan peperangan masa kini termasuklah perolehan Command Centre Platform (CCP), Multi Channel Radio System (MCRS) Versi 2 dan radio VHF Section Set.

Di samping itu, RSD bakal menerima perolehan peralatan tambahan pada tahun hadapan iaitu Sistem Komunikasi Manpack dan Vehicular serta Sistem Pertahanan Siber dan peralatan sokongan operasi bagi memperkasa tahap kesiagaan peralatan komunikasi sedia ada.

Sejurus tamat perbarisan, Brig Jen Dato’ Ahmad Saifuddin Talha sempat menyantuni veteran-veteran RSD yang hadir dalam sambutan tersebut.

Turut hadir, Pengarah Kanan Operasi Strategik dan Pembangunan, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, Brig Jen Mokhtar Mohd Yassin dan Pengarah Direktorat Peperangan Informasi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Brig Jen Dr Sayuthi Jaafar.

Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Muhammad Shafirin Mohd Radzi

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button