KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Back To School Tabung Zakat Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM) dan Dana Kempen Tabung Pahlawan kepada 45 anak asnaf Veteran ATM bertempat di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 8 Mac 2022.
Keseluruhan penerima berjumlah 671 anak Veteran ATM yang terdiri dari 591 penerima asnaf dan 35 penerima dalam kalangan bukan Islam menerima sumbangan sebanyak RM 500.00 yang akan dibayar terus ke akaun bank masing-masing pada pertengahan bulan Mac 2022.
Majlis yang dilaksanakan pada setiap tahun merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM melalui YVATM dan Kempen Tabung Pahlawan bagi meringankan beban sara hidup asnaf Veteran ATM yang kurang berkemampuan selain menggalakkan minat serta semangat anak-anak untuk ke sekolah.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan melibatkan peruntukan berjumlah RM 335,500.00 yang turut disumbangkan daripada Koperasi Tentera, Affin Hwang Investment Bank, Desatera Sdn Bhd dan pelbagai sumber yang menyokong Kempen Tabung Pahlawan.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mej Jen Dato’ Dzulkarnain Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (TKPPP), Mej Jen Mohd Razali Alias.