Semasa

Perbarisan Penghargaan Persaraan Dua Pegawai Kanan KRD

PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (TKPPP), Mej Jen Dato’ Mohd Anuar Mohamad Ali dan Inspektor Jeneral (IJ) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Brig Jen Dato’ Othman Jamal yang masing-masing bakal menamatkan perkhidmatan pada 11 Mac 2022 dan 16 Mei 2022.

“Sepanjang perkhidmatan mereka telah mengorbankan seluruh jiwa dan raga serta sentiasa komited terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Mereka merupakan antara barisan pegawai kanan Tentera Darat (TD) dan Kor Risik Diraja (KRD) yang amat berpengalaman dan berpengetahuan tinggi.

“Menyingkap perjalanan kerjaya mereka, kedua-dua pegawai kanan ini telah menjawat pelbagai jawatan penting dan pastinya telah memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada perkhidmatan tanpa mengira penat lelah baik dari segi mental mahupun fizikal.

“Sesungguhnya, persaraan kedua-dua pegawai kanan ini merupakan suatu kehilangan yang besar kepada TD amnya dan KRD khasnya, semoga Allah S.W.T membalas segala jasa dan budi Dato’ berdua,” jelasnya.

PTD berkata demikian semasa ucapannya dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Mohd Anuar Mohamad Ali dan Brig Jen Dato’ Othman Jamal di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 9 Mac 2022.

Mej Jen Dato’ Mohd Anuar Mohamad Ali memulakan perkhidmatan di dalam ATM serta ditauliahkan sebagai Lt M pada tahun 1980 di dalam KRD.

Sepanjang tempoh perkhidmatan selama 41 tahun lima bulan, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting di peringkat TD dan ATM dimana jawatan terakhirnya adalah sebagai TKPPP.

Manakala Brig Jen Dato’ Othman Jamal mula berkhidmat di dalam ATM dan ditauliahkan sebagai Lt M di dalam Kor Armor Diraja (KAD) pada 1981.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Muda KAD sebelum bertukar ke KRD pada tahun 1991, dalam tempoh 40 tahun 10 bulan, beliau juga menyandang pelbagai jawatan penting di peringkat TD dan ATM dimana jawatan terakhirnya adalah sebagai IJ BSPP.

Perbarisan perhargaan ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan seramai 15 pegawai dan 113 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Zulkefli Yusuf.

Sejurus tamat perbarisan, PTD kemudiannya diiringi ke Dewan KP ATM, bagi menikmati jamuan dan menonton tayangan video montaj yang memaparkan serba sedikit coretan kenangan sepanjang perkhidmatan Mej Jen Dato’ Mohd Anuar Mohamad Ali dan Brig Jen Dato’ Othman Jamal.

Simbolik acara diakhiri dengan Street Lining di mana kedua pegawai kanan ini diarak menaiki kenderaan istiadat yang ditarik oleh warga KRD.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan merangkap Pengerusi KRD, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Panglima 4 Bgd (Mek), Brig Jen Dato’ Zahari Mohd Ariffin dan Pengarah KRD, Brig Jen Johari Ismail.

Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online