PERAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain meluangkan masa berbuka puasa bersama anggota Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) bertempat di Markas Taktikal 749 Kem Sri Banding pada 15 Apr 2022.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua-ketua dari setiap Bahagian, Cawangan dan Jabatan Arah (BCJ) Markas Tentera Darat (MK TD) di mana ianya bertujuan meraikan anggota yang sedang melaksanakan operasi.
Terdahulu, ketibaan PTD telah disambut oleh Pegawai Memerintah 15 RAMD kemudian dibawa bergambar di replika rumah kampung sebelum membakar meriam buluh sebagai simbolik acara berbuka puasa.
Selesai berbuka puasa, PTD dan rombongan bersama-sama pegawai serta anggota bergerak ke Surau Ar-Rayyan untuk menunaikan solat Magrib, Isyak dan Tarawih yang dipimpin oleh Pegawai Agama MK TD, Kapt Mohd Na’im Hj Ahmad Al-Hafiz.
PTD mengucapkan terima kasih kepada anggota yang terlibat dalam operasi kerana sentiasa amanah serta jujur dalam menjaga kedaulatan negara walaupun ketika bulan Ramadan.
“Warga TD seharusnya memahami akan tugas hakiki sebagai seorang tentera dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
“Walaupun saya juga mempunyai hasrat berbuka bersama keluarga, tetapi demi tuntutan tanggungjawab menemui anggota dan pegawai yang terlibat operasi, saya ketepikan semuanya”, jelas PTD.
Sebelum mengakhiri majlis, PTD menyempurnakan acara pemakaian pangkat kepada seramai 16 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) 15 RAMD sebagai tanda menghargai jasa serta sumbangan yang dicurahkan oleh mereka.
Selain itu, seramai lapan pegawai dan anggota LLP menerima Beg Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 sebagai simbolik acara penyerahan kepada pasukan yang terlibat dalam Op BENTENG ini.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul