NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana seramai 2,234 para Perajurit Muda (PM) Lelaki dan 263 PM Wanita yang begitu bertekad tinggi serta bersemangat waja telah dapat menamatkan latihan asas dengan jayanya walaupun dibatasi norma baharu COVID-19.
“Syabas dan tahniah diucapkan kerana berjaya menempuh setiap cabaran dan rintangan yang menjadi dasar pembentukan jati diri seorang pahlawan sebagai persediaan menggalas amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara tercinta.
“Kejayaan terhasil daripada kegigihan usaha serta kesabaran tinggi yang ditunjukkan oleh para PM sepanjang latihan serta doa yang tidak pernah putus dipanjatkan ke hadrat Allah SWT.
“Saya berkehendakkan nilai-nilai murni yang dipupuk dan disuburkan sepanjang latihan akan terus dipraktikkan sewaktu melaksanakan tugas dan tanggungjawab di pasukan masing-masing kelak,” tegas PTD.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 194/2021 Dan Wanita Siri 47/2021 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 21 Mei 2022.
Tambah beliau lagi, Tentera Darat (TD) tidak akan sesekali berkompromi dengan salah laku yang dilakukan oleh warganya kerana aspek disiplin dan profesionalisme amat dipandang serius di mana ianya merupakan tunjang kekuatan organisasi.
“Oleh itu, saya menyeru saudara dan saudari untuk meneguhkan niat dengan sentiasa menjaga etika serta budaya ketenteraan agar dapat melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.
Terdahulu, PTD menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik iaitu PM Mohamad Nor Farhan Mahzal yang berasal dari Segamat, Johor dan berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Dengan pelaksanaan fasa endemik, perbarisan pada kali ini dilaksanakan mengikut tradisi rejimental dengan mengehadkan kehadiran keluarga sebagai penonton bagi menyuntik semangat para PM yang terlibat.
Seramai 2,497 PM terdiri daripada 83 PM berkelulusan Diploma, sembilan berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 13 berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 107 berkelulusan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), 179 berkelulusan SKM dan 2,106 PM berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 26 Nov 2021.
Selain itu, PTD turut menyampaikan anugerah dan piala pusingan kepada lapan PM sebagai pengiktirafan di atas setiap pencapaian serta kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang menjalani latihan.
PM yang cemerlang menerima anugerah meliputi beberapa kategori di mana PM Lelaki Kecergasan Jasmani Terbaik diberikan kepada PM Edison, PM Lelaki Akademik Terbaik disandang oleh PM Nelson Ovinver Jemis, PM Lelaki Kawad Terbaik dianugerahkan kepada PM Aiman Ruzzaini Romzi dan PM Lelaki Ketenteraan Terbaik diberikan kepada PM Muhamad Aminur Rasyid Mat Radzi.
Manakala, bagi PM Wanita Kecergasan Jasmani Terbaik dianugerahkan kepada PM Nur Nazwa Herman, PM Wanita Akademik Terbaik diberikan kepada PM Nur Farah Huda Azman dan PM Wanita Terbaik disandang oleh PM Nur Syafiqah Liyana Mohd Noor.
Acara perbarisan rejimental seumpama ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.
Gambar: Mej Suriatie Alias, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon