KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli mengadakan Lawatan Rasmi ke Wisma Kementerian Pertahanan pada 4 Jul 2022.
Keberangkatan tiba baginda di perkarangan Wisma Pertahanan disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Sejurus kemudian, baginda menerima Tabik Hormat Diraja serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai empat pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Nurul Fauzan Md Sabri.
Dalam sesi lawatan ini, baginda berkenan menerima sembah taklimat daripada Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenaan Pelan Pemulihan Aset Littoral Combat Ship (LCS), Pindaan Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), agenda memperkasakan Veteran
ATM dan Pengoperasian Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Lawatan Rasmi ke Kementerian Pertahanan ini merupakan julung kali dizahirkan baginda ke atas organisasi kementerian-kementerian di Malaysia sejak ditabalkan sebagai KDYMM SPB YDP Agong Ke-16.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM bersama Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan ATM.
Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Riffat Mohd Yusof