KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengucapkan syabas dan tahniah kepada para Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Kanan yang dinaikkan pangkat kerana ianya merupakan suatu pencapaian yang wajar dibanggakan.
“Kenaikan pangkat ini bererti tanggungjawab yang dipikul akan bertambah dan harapan saya agar amanah yang diberi dapat ditunaikan dengan cemerlang dan penuh dedikasi.
“Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Waran Satu (PW I) yang dianjurkan ini adalah selari dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dengan tumpuan kepada aspek pengiktirafan di atas kecemerlangan khidmat bakti yang dicurahkan.
“Memetik kata-kata Sarjan Mejar United States Army, William A. Connelly, ‘good noncommissioned officers are not just born, they are groomed and grown through a lot of hard work and strong leadership by senior NCOs’.
“Selaku PTT Kanan, saudara saudari memainkan peranan sebagai tunjang utama perkhidmatan yang menjadi penghubung antara pegawai dan anggota bawahan serta saudara saudari perlu memahami hasrat pegawai atasan dan menjelaskannya kepada anggota bawahan, begitu juga perlu mengambil berat perihal permasalahan yang dihadapi oleh anggota bawahan,” tegas PTD.
Tambah PTD lagi, antara cabaran yang bakal dihadapi dalam pelaksanaan tugas adalah impak yang dihadapi ekoran jurang generasi atau generation gap dalam kalangan anggota, di mana mereka boleh dibahagikan kepada Generasi X,Y dan Z, justeru PTT Kanan perlu bijak memainkan peranan dalam menangani situasi ini.
PTD berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pemakaian Pangkat PW I Tentera Darat (TD) di Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia pada 25 Jul 2022.
Seramai 92 PW II dinaikkan pangkat ke PW I terdiri daripada lima PW II Rejimen Askar Melayu Diraja, tiga PW II Rejimen Renjer Diraja, enam Kor Armor Diraja, 28 Rejimen Semboyan Diraja, enam Rejimen Askar Jurutera Diraja, enam Rejimen Artileri Diraja, seorang Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan), dua Kor Perkhidmatan Am (Gaji), lapan Kor Kesihatan Diraja, dua Kor Polis Tentera Diraja, tujuh Kor Risik Diraja, dua Kor Perkhidmatan Diraja, lima Kor Ordnans Diraja, dua Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja, seorang Kor Agama Angkatan Tentera dan lapan Rejimen Gerak Khas.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly