PUTRAJAYA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Jul 2022.
Istiadat Sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-panji SPB YDP Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) oleh Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Istiadat diteruskan dengan perbarisan berkonsepkan statik yang terdiri daripada enam detasmen melibatkan seramai 66 pegawai dan 1,055 anggota LLP gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran ATM serta Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM) diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Lt Kol Muhammad Ikhwan Hussin.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dan menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan diiringi alunan lagu Negaraku dari Pancaragam Gabungan Pusat ATM lalu disusuli 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (41 Bti RAD).
Acara diteruskan dengan Tiupan Paluan Akhir atau Last Post dengan menurunkan Jalur Gemilang dimana tiupan ini juga merupakan isyarat di medan perang supaya anggota pasukan sahabat mencari saki-baki anggota yang terkorban atau cedera untuk dibawa pulang.
Seterusnya hadirin diperdengarkan dengan deklamasi sajak berjudul Pahlawanku yang disampaikan oleh Sjn Roseshini Kasim (PDRM) bersama Kpl Udara Mohamad Ramdan Akmal Md Jamal (ATM).
Persembahan pantomim turut dipertontonkan bagi mengenangkan pengorbanan pejuang negara iaitu kisah daripada peristiwa sebenar pertempuran yang berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Okt 1993.
Peristiwa itu membabitkan pasukan Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (19 RAMD (Mek)) yang terlibat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mogadishu di bawah Kontinjen MALBATT 1 UNOSOM II (United Nations Operation in Somalia).
Pantomim tersebut turut menceritakan tentang keberanian Allahyarham Kpl Mat Aznan Awang yang meneruskan pertempuran dalam usaha menyelamatkan anggota elit US Rangers dan kru helikopter Black Hawk yang terperangkap di kawasan berkenaan akibat diserang oleh gerila pemberontak pimpinan Mohamed Farrah Aidid.
Dalam pertempuran tersebut, beliau telah terkorban apabila kereta perisai Condo yang dipandu olehnya diserang hendap gerila pemberontak melalui tembakan Rocket-Propelled Grenade (RPG) menembusi cermin hadapan kenderaan perisai tersebut.
Atas keberaniannya, Allahyarham Kpl Mat Aznan Awang dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).
Hari Pahlawan disambut pada 31 Jul setiap tahun bertujuan untuk memperingati dan menghargai semangat keberanian serta jasa para perwira di dalam pasukan keselamatan negara sama ada ATM mahupun PDRM terutama mereka yang gugur demi mempertahankan keamanan serta kedaulatan tanah air.
Namun, kali terakhir istiadat ini diadakan pada tahun 2018 akibat keadaan jerebu teruk yang melanda negara pada tahun 2019, manakala pada tahun 2020 dan 2021 pelaksanaan istiadat ini tidak dapat direalisasikan berikutan pandemik COVID-19.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Pbt Mohammad Shukri Suhaimi