MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein melakukan lawatan ke atas warga Kem Terendak pada 28 Sep 2022.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan memulakan sesi lawatannya ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak.
Beliau menjelaskan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memuktamadkan pelbagai perancangan bagi menambah baik aspek pendidikan dan membela kebajikan warga pertahanan.
Di samping itu, beliau turut berbesar hati menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Anugerah Pencapaian Teringgi Sekolah serta penyerahan komputer riba kepada para pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Program ini merupakan sebahagian inisiatif dalam merealisasikan Teras Ketiga Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP) yang menggabungkan program kebersamaan antara tentera dengan awam.
Seterusnya, Menteri Kanan Pertahanan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Komander Rejimen Jurutera (KRJ) Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) sebelum menyempurnakan simbolik perasmian Projek Senggaraan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Desa Taming Sari dengan menandatangani plak perasmian dan penyerahan replika kunci kepada lapan anggota Kem Terendak.
Dalam sesi lawatan ini, beliau berkesempatan meluangkan masa melakukan Lawatan Kebajikan ke atas keluarga anggota warga Kem Terendak yang memerlukan bagi membantu mengurangkan bebanan keluarga berkenaan.
Beliau mengakhiri sesi lawatan dengan beramah mesra bersama peserta Army Endurance Challenge (AEC) 2022 di Lapang Sasar 400 Meter Kem Terendak.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abdul Aziz, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Mohammad Shukri Suhaimi
#PelanStrategikMindef
#KesejahteraanWargaTD