KUALA LUMPUR: Barisan pemerintah dari Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Bgd) diisytiharkan sebagai johan keseluruhan bagi Pertandingan Menembak Pistol Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) Antara Formasi Pemerintahan Briged Tahun 2022 di Lapang Sasar Tertutup 25 Meter, Kem Perdana Sungai Besi pada 7 Nov 2022.
Dalam saingan ini, tim 5 Bgd yang memberi saingan sengit merangkul kedudukan naib johan keseluruhan sementara Formasi 11 Bgd meraih tempat ketiga.
Terdahulu, Ketua Staf Am Markas 21 Gerup Gerak Khas (KS Am MK 21 GGK), Brig Jen Ahmad Shuhaimi Mat Wajab dinobatkan sebagai johan kategori individu setelah mencatatkan 273 mata manakala naib johan disandang oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain (252) dan tempat ketiga jatuh kepada Pengarah Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Brig Jen Yazid Yusuf (247).
Seterusnya, johan Menembak Jatuh Piring dirangkul oleh tim Markas Tentera Darat 1 yang dianggotai oleh PTD, Pengarah PUTD serta KS Am MK 21 GGK manakala naib johan disandang oleh tim 11 Bgd dan tempat ketiga 12 Bgd.
Pertandingan menembak ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menembak pistol di samping memupuk semangat berpasukan dan setiakawan dalam kalangan pegawai kanan TD.
Aktiviti sebegini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima-panglima Formasi dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime & Pbt Mohammad Shukri Suhaimi