KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Brig Jen T. Azharan T. Putra melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran atas sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) RSD Ke-70 Jubli Platinum di Padang Kawad Cawangan Rejimental, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED), Kem Perdana Sungai Besi pada 29 Nov 2022.
“Diingatkan seluruh Warga RSD untuk terus berusaha meningkatkan kepakaran dan prestasi diri terutama kepada pasukan dan kor secara berterusan demi menjaga imej, kelangsungan misi dan tugas yang diamanahkan.
Terdahulu, Pengerusi Kor RSD menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan melibatkan tiga detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai dan 221 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Riath Arramin Ahmad serta diiringi Brass band Wanita RSD.
Seterusnya, perbarisan diteruskan dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Sijil Kepujian Perkhidmatan Awam yang melibatkan seramai 16 LLP serta lima penjawat awam yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Kor RSD.
Menyingkap kembali sejarah penubuhan RSD pada tahun 1949 di mana tertubuhnya sebuah Communication Troop yang pada awalnya hanya berkekuatan seramai 90 anggota. Trup yang terdiri daripada Jururadio (Signaller) telah dilatih sebagai Wireless Radio Operator dan Jurutalian di Signal Training Wing yang berpangkalan di Port Dickson. Manakala pada tahun 1954, kerajaan bersekutu telah mewartakan dengan rasminya, RSD sebagai sebuah kor dalam TD dan mengesahkan tanggal 15 Nov 1952 sebagai tarikh penubuhannya.
“Sejajar dengan pembangunan Tentera Darat (TD) ketika itu, penubuhan Briged Pertama Infantri pada Jan 1950 telah menyebabkan pembahagian Communication Troop kepada dua bahagian dalam memenuhi keperluan perhubungan,” ujarnya.
Sejurus tamat perbarisan, Brig Jen T. Azharan T. Putra sempat menyantuni veteran-veteran RSD yang hadir sambil melawat pameran komunikasi serta aset-aset RSD. Pameran ini melibatkan 8 jenis kenderaan iaitu Kabin PUSKOM, Kabin Multi Channel Radio System (MCRS), Support Vehicle IVECO, Cendana FUV, Kenderaan Communication On The Move(COTP), Kenderaan Communication On The Pause (COTP), Hagglund dan Trak 1 Tan FFR GK M1.
Sambutan HUT RSD diserikan dengan pemberian Buku The Royale Military Academic Sandhurst 1950-2022 dan upacara memotong kek serta jamuan makan di Dewan Makan Desatera, diiringi dengan persembahan dari D’Comms band.
Turut hadir, Mantan Pengerusi Kor RSD, Mej Jen Dato’ Ahmad Saifuddin Talha dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir.