KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menekankan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan anggota tentera amat penting bagi meningkatkan kerjaya serta memiliki peluang lebih cerah ke luar negara dan menjamin pekerjaan yang lebih baik selepas bersara.
“Selain itu, ianya akan memudahkan komunikasi dan kefahaman anggota tentera semasa penglibatan operasi pengaman bersama pelbagai negara luar,” ujarnya lagi.
TPTD berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Bengkel Pertuturan Berkesan Bahasa Inggeris Bagi Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Kor/Rejimen Tentera Darat di Auditorium Panglima Angkatan Tentera (PAT) pada 23 Dis 2022.
Program yang berlangsung selama tiga hari melibatkan seramai 24 SMR dari formasi, kor dan rejimen bagi memberi pendedahan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan native speaker iaitu Lt Kdr Lesleigh Mather (Australian Language Advisor) selaku tenaga pengajar bengkel.
Dalam majlis ini, TPTD turut menyempurnakan penyampaian Sijil Penyertaan kepada semua peserta sebelum mengakhiri acara dengan sesi bergambar dan menandatangani Buku Lawatan.
Penganjuran bengkel ini mendukung Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman.