NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) atas segala usaha dalam membangunkan keupayaan Tentera Darat (TD) dan membawa ketumbukan ke puncak kecemerlangan.
“Antara kejayaan yang dilakar adalah dengan membangunkan Combined Arms Manoeuver Area (CARMA), Terendak Off Road Competency Circuit (TOCC), Division Force Matching Alignment Symposium dan menerbitkan manual pengurusan kenderaan Op BENTENG.
“MK 3 Div turut berjaya menubuhkan Markas Taktikal Divisyen dan Kawasan Senggaraan Divisyen (KSD), merangkul tempat pertama dalam kategori Pengurusan Divisyen Terbaik dan membangunkan Division Intelligence Coordinating Cell (DICC),” jelas PTD.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbarisan penghargaannya di Padang Kawad Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja (11 KAD) pada 21 Feb 2023.
Perbarisan dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum diteruskan dengan Perbarisan Tempur Berjalan Lalu yang terdiri daripada 23 pegawai dan 694 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta 72 buah aset kenderaan gabungan 3 Div.
Sempena perbarisan penghargaan ini, PTD menyempurnakan upacara pemakaian pangkat ke atas 16 anggota LLP di bawah naungan 3 Div serta mengadakan lawatan kebajikan terhadap tiga waris yang terdiri daripada anggota dan ahli keluarga di bawah naungan 3 Div.
PTD kemudian turut memimpin Majlis Pengislaman Saudara Baharu melibatkan Pbt Adam Steve Ganga dari MK 3 Div yang melafazkan Dua Kalimah Syahadah.
Keseluruhan acara diakhiri dengan Majlis Makan Malam Penghargaan bersama warga 3 Div di Dewan Serbaguna Kem Terendak.
Turut hadir, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid, Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima 4 Bgd (Mek), Brig Jen Mohd Rafi Muhammad, Pemangku Panglima 1 Bgd, Kol Shahrudiin Ariffin, Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen, Brig Jen Norazman Ismail dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi