KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain melancarkan buku Biografi Edisi Kedua PTD Ke-23 hingga 28 yang bertajuk ‘Satu: Pengabdian, Pengorbanan dan Perjuangan’ di Dewan Dato’ Jamil pada 1 Mac 2023.
Penerbitan edisi kedua ini merupakan kesinambungan daripada sejarah kecemerlangan mantan-mantan pemimpin tertinggi Tentera Darat (TD) yang sudah dirakamkan dalam buku edisi pertama pada tahun 2009.
Buku ini dihasilkan bukan sahaja sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka malah ianya dijadikan panduan, rujukan dan sumber inspirasi kepada seluruh warga TD dalam memastikan kesinambungan pemerintahan tertinggi TD.
Sejurus selesai pelancaran, PTD kemudian menerima buku The Gunturions yang diilhamkan daripada pengalaman Pegawai Muda dan jurulatih dalam Kursus Muslihat Asas Ketua Platun di Sekolah Tempur Pegawai Muda, Kem Paradise, Sabah.
Sempena sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-90, berlaku pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara TD dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam melaksanakan kerjasama strategik seperti program pembangunan modal insan, misi bantuan banjir dan misi bantuan ke kawasan luar bandar.
Acara terakhir menyaksikan PTD menyampaikan sumbangan Dermasiswa Pendidikan TD bernilai RM1,000 kepada anak-anak anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) melibatkan seramai 50 orang yang sedang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi bagi tahun 2022/2023 sebelum majlis diakhiri dengan upacara memotong pulut kuning sempena HTD Ke-90.
Turut hadir, mantan PTD Ke-10, Jen (B) Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, mantan-mantan PTD, veteran-veteran TD, atase-atase pertahanan dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Mohammad Shukri Suhaimi