JOHOR: Pengarah Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Brig Jen Mohd Zaki Abu dan warga pasukannya meraikan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersama isteri dalam Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28 melibatkan seramai 12 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) bertempat di Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (Rej 881 PUTD) pada 11 Mac 2023.
Ketibaan PTD dan isteri disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum menerima tabik hormat berserta Lintas Hormat daripada lima buah pesawat dan diikuti dengan Perbarisan Tempur Berjalan Lalu.
Sempena lawatan penghargaan ini, penubuhan Rej 883 PUTD telah dirasmikan oleh PTD.
“Pasukan ini bertanggungjawab menentukan pengoperasian dan penyelenggaraan pesawat MD530G dilaksanakan seperti yang dirancang.
“Penubuhan Rej 883 PUTD ini akan membantu meningkatkan keupayaan dan keberkesanan PUTD dalam mencapai visi dan misinya,” ujar PTD.
Tambahnya lagi, TD telah menerima enam buah helikopter MD530G pada 10 Feb 2022 bagi melonjakkan keupayaan taktik udara PUTD dalam memberi bantuan tembakan yang berkesan.
Sempena perbarisan penghargaan ini, PTD turut menyempurnakan upacara pemakaian pangkat ke atas lima anggota LLP serta acara menanam pokok sebagai simbolik lawatan penghargaan dan merasmikan Flight Training Device MD530G.
PTD dan isteri kemudian mengadakan lawatan kebajikan terhadap lima waris yang terdiri daripada anggota dan ahli keluarga di bawah naungan Rej 881 PUTD sebelum diakhiri dengan acara Street Lining.
Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir