NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan gimik upacara Penutup Persembahan TATU dan Karnival Terbuka Tentera Darat (TD) bersempena Hari Tentera Darat Ke-90 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 12 Mac 2023.
Kehadiran hampir 60,000 pengunjung menyaksikan majlis penutup pada malam ini yang mempamerkan pelbagai persembahan menarik seperti aksi pertempuran pasukan elit 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), persembahan Pancaragam TD, Kuda Istiadat, Tarian Perang, Anjing Perang, Kawad Senyap serta pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS).
Tumpuan utama beralih kepada aksi lagak ngeri oleh Army Red Warrior iaitu Tim Akrobatik Motosikal TD yang mencipta rekod baharu dalam Malaysian Book of Records bagi kategori Most People Riding On A Motorcycle seramai 30 orang dan Longest Motorcycle Jump (Female) melepasi enam buah kereta yang dilakukan oleh Sjn Saidatul Husna Kamaruddin menggunakan motosikal jenis Scrambler Kawasaki 250cc.
Acara diteruskan lagi dengan penyampaian Sijil Malaysian Book of Record kepada Tim Akrobatik Army Red Warrior yang berjaya memecahkan rekod terbaru sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama ahli persembahan.
Pelaksanaan karnival seumpama ini sejajar dengan Teras Keempat Pelan Strategik MINDEF (PSM) Tahun 2021-2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) serta memenuhi Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Hj Aminuddin Harun, Timbalan Menteri Pertahanan, Tuan Hj Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir