MELAKA: Konsep peperangan menggunakan agen Kimia, Biologi, Radiasi, Nuklear Dan Explosive (CBRNe) sebagai senjata dilihat semakin meluas dan seringkali digunakan dalam serangan pengganas masa kini.
“Persediaan tentera darat menghadapi ancaman yang bahaya ini memerlukan latihan yang khusus dan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi perlu diberi pendedahan.
“Eksesais MANTIS ini merupakan medium terbaik untuk melatih dan menguji kompetensi anggota dalam menangani ancaman pengganas yang menggunakan agen CBRNe.
Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berucap ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Eks MANTIS Siri 9/2023 di Padang Pavillion, Kem Terendak pada 20 Mac 2023.
Selain itu, eksesais ini juga dilaksanakan bagi memahirkan anggota tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani ancaman persekitaran melibatkan CBRNe.
Latihan bilateral dilaksanakan melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Angkatan Tentera Kanada (ATK) yang memfokuskan kepada atur gerak kumpulan kecil pakar CBRNe, tim pemusnah alat letupan reka ganti atau Improvise Explosive Device (IED) serta kumpulan perubatan medan bagi menyokong operasi antikeganasan kumpulan penggempur pasukan khusus.
“Kombinasi latihan berterusan semenjak tahun 2015 melibatkan kepakaran unit yang berbeza dari dalam dan luar negara ini perlu diteruskan agar dapat meningkatkan pembangunan keupayaan dan kesiapsiagaan yang tepat untuk kejayaan misi pengoperasian membanteras insiden pencemaran agen CBRNE,” jelasnya.
Eks MANTIS Siri 9/2023 yang bermula dari 11 Jan sehingga 20 Mac 2023 ini terdiri daripada 11 pegawai dan 117 anggota melibatkan kedua-dua buah negara iaitu 21 Grup Gerak Khas (21 GGK), pasukan 12 Skn RAJD (CBRNe), 91 Rej Bantuan RAJD dan pasukan perubatan daripada 2 Batalion Ubat (2 Bn UBAT) serta 21 Skuadron Medik GGK manakala anggota ATK melibatkan Canadian Special Operation Force Command (CANSOFCOM).
Pelaksanaan latihan seumpama ini sejajar dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Tonggak Pertama, Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan, Tonggak Keempat, Pengukuhan Hubungan Pertahanan serta Tonggak Kelima, Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.
Turut hadir, Pesuruhjaya tinggi Kanada, Excellency Wayne Robson, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Abdul Rashid, Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Mej Jen Nubli Hj Hashim, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Mej Jen Malek Razak Sulaiman, Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Puan Halimah Abdul Rahim.
Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul