KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman buat julung kalinya semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan Tentera Darat (TD) telah mengadakan Lawatan Ulung ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD) pada 30 Mac 2023.
Ketibaan beliau disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan sebelum menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
PTD kemudian diiring ke Bilik Mesyuarat Utama MK PMBTD bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh PMB TD sebelum diteruskan dengan sesi menandatangani Buku Lawatan serta penyampaian cenderahati dan sesi bergambar di monumen seladang.
Seterusnya, PTD dibawa ke Pusat Operasi Network Centric Capabilities Center (NCCC) bagi sesi ramah mesra secara sidang video bersama pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi.
Sebelum mengakhiri lawatan, PTD meluangkan masa menyertai Pertandingan Menembak Pistol bersama pegawai-pegawai kanan TD di Lapang Sasar Tertutup 25 Meter 1 RAMD.
Pertandingan menembak melibatkan kategori Centre Fire Target dan Falling Plate ini dimenangi oleh tim satu yang diwakili PTD, PMB TD serta Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Bgd).
Turut hadir, Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid, Panglima 4 Div, Mej Jen Anuar Abdul Wahab dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein