KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hjh Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mencemar duli ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Masjid Khalid Al-Walid pada 12 Apr 2023.
Ketibaan baginda dan Raja Permaisuri Agong disambut oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hasan bersama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Majlis dimulakan dengan penyampaian kurnia kepada 50 orang anak-anak yatim daripada warga ATM, veteran ATM dan warga awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
KDYMM SBP YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong kemudian menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Tuan Adly Zahari, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Muhammad Ab Rahman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husien