KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri, Datin Hartiah Hamzah menyaksikan Sambutan Majlis Deepavali Peringkat Tentera Darat di Dewan Dato’ Jamil Ahmad pada 8 Dis 2023.
Sambutan ini diadakan bagi meraikan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berbangsa India di samping dapat mengeratkan lagi jalinan persahabatan warga TD berbilang bangsa yang telah terjalin.
Acara dimulakan dengan gimik membuat kolum yang disempurnakan oleh PTD sebagai simbolik meraikan perayaan Deepavali.
Seterusnya, acara dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan seperti pertunjukan tarian masyarakat India serta nyanyian lagu.
Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian duit raya kepada anak-anak pegawai dan anggota yang hadir.
Sebelum mengakhiri majlis, PTD menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (Tamil) Kem Askar Melayu serta kepada lima anggota sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai kanan TD.