KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hjh Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB YDP Agong XVI di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 8 Jan 2024.
Majlis Santapan Beradat ini merupakan acara rejimental yang diadakan bertujuan untuk memuliakan baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM sempena tamatnya pemerintahan beliau sebagai pentadbir negara selama lima tahun yang bermula dari tahun 2019 sehingga 2024.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi.
Acara kemudian dimulakan dengan perarakan masuk lima Panji-Panji SPB iaitu Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
KDYMM SPB YDP Agong XVI telah diputerakan pada 30 Jul 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang merupakan paduka putera sulung Sultan Ahmad Shah, Sultan Negeri Pahang dan baginda meneruskan pengajian dalam bidang ketenteraan di The Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom dari tahun 1978 hingga 1979.
Seperti kelazimannya, sebagai pewaris takhta, SPB YDP Agong XVI telah didedahkan dengan bidang ketenteraan sejak dari awal lagi, komitmen baginda dalam bidang ketenteraan sangat terserlah sehingga dilantik sebagai Lt M, Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.
Baginda juga adalah Kapt bagi pasukan Kor Kavalri Diraja Malaysia dan dilantik menjadi Lt Kol, Rejimen 505 Askar Wataniah (AW) pada 1 Mei 1999. Sifat kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan sentiasa dikagumi sehingga dilantik menjadi Kol, Rejimen 505 AW pada 1 Jun 2000 dan kemudian menjadi Brig Jen Komander Rej 505 AW pada 1 Apr 2004.
Dalam bidang sukan, baginda amat meminati polo, bola sepak dan hoki malah baginda bukan sahaja aktif di dalam negara malahan juga di luar negara. KDYMM SPB YDP Agong XVI pernah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England serta mengambil bahagian dalam pertandingan di Singapura, Filipina, Brunei, Argentina, Amerika Syarikat, Sepanyol, Belgium dan Thailand.
Kehebatan baginda dalam sukan polo terbukti apabila berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA Ke-12 di Singapura pada tahun 1983.
Turut hadir, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein