MELAKA: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyempurnakan Perbarisan Penutup Eksesais MANTIS Siri 10/2024 dengan penglibatan bersama Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, TYT Wayne Robson di Dataran Parawood, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) pada 7 Mac 2024.
Perbarisan melibatkan enam pegawai dan 51 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat (TD) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) yang diketuai oleh Lt Kol Norazmi Yaa’cob diserikan lagi dengan Demonstrasi Dinamik Pelancaran Buku ‘A Decade of Ex MANTIS’, pameran statik sebelum perbarisan dan acara pembukaan TOHA peserta Eksesais MANTIS Siri 10/2024.
Eksesais ini merupakan latihan tahunan dan bilateral melibatkan pasukan 12 Skn RAJD (CBRNe) dari TD dan ATK telah bermula pada 15 Jan hingga 7 Mac 2024 yang bertujuan mengukuhkan hubungan serta meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Kanada di samping berkongsi pengetahuan, teknologi, peralatan dan kepakaran.
Konsep eksesais ini adalah Operasi Melawan Keganasan dalam situasi ancaman Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosive (CBRNe) yang dilaksanakan melalui fasa Cross Training Exercise (CTX) selama empat minggu, Field Integration Training (FIT) selama empat minggu dan Field Training Exercise (FTX) selama dua minggu.
Penglibatan daripada Trup TD merangkumi 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), 12 Skn RAJD (CBRNe), 91 Rej Bantuan RAJD dan pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada Batalion Kedua Perubatan (2 Bn Ubat) serta 21 Skuadron Medik GGK, manakala penyertaan dari ATK adalah Canadian Special Operation Force Command (CANSOFCOM).
Pelbagai senario telah dilaksanakan sepanjang eksesais ini untuk menguji tahap kecekapan dan pengetahuan setiap peserta di mana mereka semua telah berpeluang melaksanakan fasa akhir latihan di dua buah lokasi berbeza iaitu di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR dan KTM Pulau Sebang, Melaka bagi menangani ancaman kimia, biologi dan radiasi dalam situasi yang berbeza.
Bagi penutup eksesais, senario berkonsepkan demonstrasi operasi melawan keganasan dalam persekitaran CBRNe di mana pasukan penggempur menawan kawasan objektif bagi menghalang cubaan pihak musuh memproses dan melepaskan agen kimia jenis saraf menggunakan Improvised Explosive Device (IED).
Oleh itu, pasukan penggempur akan melaksanakan serangan untuk memastikan percubaan penggabungan agen kimia jenis saraf dan IED dapat dihentikan sambil memberikan perlindungan kepada elemen bantuan iaitu tim CBRNe, tim Counter Improvised Explosive Device (CIED) dan tim Medik untuk melakukan eksploitasi terhadap objektif.
Kejayaan melaksanakan eksesais bilateral ini adalah sejajar dengan Teras Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 iaitu Anjakan Diplomasi Pertahanan yang memberi penumpuan kepada kerjasama dua hala antarabangsa dan serantau.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah, Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan, Ambassador Zamani Ismail, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Encik Wan Mustafa Wan Hanafi, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah, Ketua Pengarah Operasi dan Latihan Markas Tentera Darat, Brig Jen Isa Daud, Ketua Jurutera, Brig Jen Ts. Sharuddin Mohd Noh, Komander Jurutera Medan Barat selaku Pengarah Eksesais Mantis Siri 10/2024, Brig Jen Fazillah Ibrahim dan Timbalan Panglima 10 Briged (Para), Kol Mohd Azral Manan.
Gambar : LKpl Mohammad Fadzil Akirul & LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi.