PAHANG: Menyingkap sejarah 55 tahun penubuhan Kor Risik Diraja (KRD), organisasi perisikan ini telah melalui pelbagai fasa transformasi yang meningkatkan keupayaannya dan menjadikannya salah satu aset penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dalam tempoh yang panjang, organisasi ini telah berjaya membuktikan kemampuannya dalam menghasilkan produk perisikan yang menyokong pelaksanaan operasi tentera dengan berkesan.
“Kita tidak hanya memandang kejayaan masa lalu, tetapi turut memberi fokus kepada potensi besar yang ada di hadapan dan perlu bersedia meningkatkan komitmen serta keupayaan perisikan,” ucap Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi KRD, Lt Jen Dato’ Mohd Razali Alias.
Tambahnya lagi, dalam usaha memperkasa peranan KRD sebagai tonggak perisikan Tentera Darat (TD) dan ATM, beberapa dokumen strategik telah digariskan sebagai panduan utama termasuk Kertas Putih Pertahanan, Strategi Ketenteraan Negara 2.0, Strategi Perisikan Pertahanan (I55) dan Angkatan Masa Hadapan – Domain Daratan (AMH-D²).
“Misi kita adalah jelas untuk memastikan KRD sentiasa dilengkapi dengan teknologi terkini, terlatih dan bersedia untuk bertindak balas terhadap ancaman semasa serta masa hadapan,” jelas KPPP semasa menyampaikan ucapan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD Ke-55 bertempat di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 7 Nov 2024.
Terdahulu, ketibaan KPPP disambut oleh Pengarah KRD, Brig Jen Mohd Raslam Hj Dollah lalu menerima tabik hormat dari Ketua Perbarisan, Lt Kol Alif Aiman Mohamed dari Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO).
Seramai 18 pegawai dan 201 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KRD melibatkan lima detasmen terlibat dalam perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat yang diiringi oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD) di bawah pimpinan Timbalan Pengarah Muzik, Kapt Amirul Shafiq Abdul Aziz.
Bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan yang ditunjukkan oleh warga KRD, KPPP menyampaikan Anugerah Kecemerlangan KRD kepada sembilan pegawai dan tujuh anggota LLP yang menunjukkan prestasi cemerlang serta memperolehi pencapaian yang membanggakan dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Kursus dan Anugerah Kecemerlangan Penglibatan Sukan.
Dalam majlis yang penuh bermakna ini, buat pertama kalinya KPPP berkenan untuk menyampaikan Anugerah Penghargaan Veteran KRD bagi menghargai jasa dan sumbangan para veteran selama berkhidmat untuk TD amnya dan KRD khasnya kepada lapan anggota LLP KRD yang baru bersara.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan dan acara memotong pulut kuning sempena sambutan HUT KRD Ke-55 serta sesi beramah mesra bersama warga veteran KRD di Dewan Serbaguna KP ATM.
Majlis diserikan lagi dengan satu sesi khas penyampaian Anugerah Pertandingan Menulis Esei anjuran Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Kor Risik Diraja (JKHEW KRD) yang melibatkan semua pegawai dan anggota wanita KRD dimana tiga orang pemenang dipilih dalam setiap kategori Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Rendah Wanita, PTT Kanan Wanita dan Pegawai Wanita.
Turut hadir, Timbalan KPPP, Mej Jen Dato’ Saharudin Harun, Mantan Pengerusi KRD Kedua, Lt Jen Dato’ Sri Azzuddin Ahmad, Mantan Pengerusi KRD Kelima, Lt Jen Dato’ Sri Abdul Hadi Hj Hussin, Mantan Pengerusi KRD Ketujuh, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Pengarah Perisikan Strategik MDIO, Mej Jen Mohammad Fauzi Abdul Majid dan Presiden Kelab Veteran Risik Malaysia, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali.
Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir