KUALA LUMPUR: Keberanian dan kecekapan luar biasa seorang anggota Tentera Darat (TD), Sjn Mohd Nor Khalid telah mendapat pengiktirafan tertinggi apabila beliau dinaikkan pangkat ke SSjn yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan di pejabatnya pada 29 Nov 2024.
SSjn Mohd Nor yang hadir bersama isterinya, Puan Nor Suhaila Ismail, telah dinaikkan pangkat sebagai tanda penghargaan atas keberanian beliau bertindak pantas menyelamatkan empat orang awam yang hampir lemas di tasik tadahan hujan, Taman Lautan Samudera 2B3, Puncak Alam, Selangor pada 24 Nov 2024 yang lalu.
Pada hari kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari, SSjn Mohd Nor bergegas ke lokasi kejadian setelah mendapat info menerusi kumpulan Whatsapp komuniti setempat.
Tanpa memikirkan keselamatan diri, beliau nekad terjun ke dalam tasik demi menyelamatkan empat mangsa yang sedang berpaut pada sampan yang terbalik.
Beliau berjaya menyelamatkan satu per satu mangsa yang berpaut pada tubuhnya kerana tidak mahir berenang ke tebing sejauh 25 hingga 45 meter dalam masa kira-kira 15 minit.
“Saya khuatir tetapi nekad. Fikiran saya hanya tertumpu pada keselamatan mereka. Saya sendiri mempunyai anak dan itu memberi kekuatan untuk bertindak. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya dengan penuh kesyukuran.
Keputusan pantas SSjn Mohd Nor berjaya mengelakkan tragedi yang lebih buruk sekaligus menyelamatkan semua mangsa dari maut.
Keberanian beliau mendapat perhatian meluas selepas berita insiden itu tular di media sosial setelah dimuat naik di portal berita atas talian sehari kemudian.
Sementara itu, PTD menyifatkan kenaikan pangkat ini sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada SSjn Mohd Nor yang dianggap sebagai wira pasukan TD atas keberanian luar biasa yang dipamerkan.
“Tindakan beliau mencerminkan semangat keperwiraan seorang anggota yang mengutamakan tanggungjawab sosial dalam situasi kecemasan demi menyelamatkan nyawa orang awam.
“Alhamdulillah, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan ini menunjukkan keberanian yang luar biasa serta keputusan yang dibuat secara spontan.
“Sikap dan tindakan beliau wajar dijadikan contoh oleh setiap anggota TD dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar PTD.
SSjn Mohd Nor Khalid telah berkhidmat hampir dua dekad dalam TD dan kini bertugas di 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh, Selangor sebelum bakal menamatkan perkhidmatan pada tahun hadapan.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau dikenali sebagai anggota yang berdisiplin tinggi, berdedikasi dan sentiasa memberikan komitmen terbaik dalam setiap tugasan.
Majlis pemakaian pangkat ini bukan sahaja mengiktiraf jasa beliau tetapi turut mengangkat martabat TD sebagai sebuah institusi yang menghargai keberanian dan pengorbanan anggotanya demi keselamatan rakyat.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul