KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan bahawa Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Waran Satu (PW I) Tentera Darat (TD) yang dilaksanakan ini selari dengan penumpuan pertama perintah ulungnya di bawah Elemen Man yang menitikberatkan Pembangunan Modal Insan.
“Majlis ini juga satu tradisi ketenteraan yang harus dipraktikkan agar pengiktirafan tertinggi diberikan kepada mereka yang telah mempamerkan kecemerlangan serta komitmen tinggi terhadap perkhidmatan,” jelas PTD.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan acara Pemakaian Pangkat PW I TD dari pelbagai kor dan rejimen bertempat di Dewan Tanjung Wisma Transit Kuala Lumpur pada 2 Dis 2024.
Tambah PTD lagi, selaku PW I adalah menjadi tanggungjawab untuk memimpin dan membimbing anggota bawahan agar mereka sentiasa beriltizam dalam memartabatkan ketumbukan keramat ini di persada tanah air.
Seramai 57 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) TD dinaikkan pangkat PW I yang disempurnakan oleh PTD dengan dibantu Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Norsham Md Tap.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul dan LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein