MELAKA: Sambutan Reunion Night sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Briged Ke-10 (Para) diadakan dengan penuh meriah di Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (9 RAMD (Para)) pada 30 Nov 2024.
Majlis ini bertujuan memperingati sejarah penubuhan briged serta memperkukuhkan ikatan silaturahim antara anggota, keluarga dan veteran yang telah lama terjalin.
Tepukan gemuruh menggegarkan suasana saat Tarian Perang 10 Bgd (Para) dipersembahkan sekaligus membawa kembali warisan dan budaya ketenteraan yang kaya dengan sejarah perjuangan.
Dalam ucapan aluan Panglima 10 Bgd (Para), Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal menekankan pentingnya kekuatan fizikal dan mental yang luar biasa bagi setiap anggota di samping turut memberi penghargaan kepada semua veteran yang pernah menyumbang kepada kegemilangan briged.
Majlis diteruskan dengan Penganugerahan Sayap Penerjunan Kanan yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan kepada 23 penerima terpilih yang telah memenuhi syarat dan menunjukkan kecekapan luar biasa dalam latihan serta operasi penerjunan.
Seterusnya, PTD turut menyempurnakan Anugerah Paratrooper of the Year 2024 kepada LKpl Muhammad Haziq Aiman Hassan dari 9 RAMD (Para) yang menunjukkan prestasi cemerlang dan keperibadian unggul yang ditonjolkan sepanjang tahun ini.
Sambutan gilang-gemilang diserikan dengan upacara pemotongan pulut kuning sebagai tanda simbolik sambutan HUT.
Dalam ucapan PTD, beliau yakin dengan komitmen dan dedikasi tinggi setiap anggota briged ini mampu kekal relevan, kredibel dan efektif dalam semua aspek operasi.
“Tema sambutan kali ini, ‘Strong Arms, Big Heart’ membawa mesej yang sangat bermakna yang bukan sekadar menggambarkan kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan dalaman dan jiwa yang menjadi tunjang kepada kejayaan selama ini,” ujar beliau.
Tambah PTD lagi, beliau menekankan bahawa sambutan ini bukan sekadar perayaan tetapi satu peluang untuk kita memperkukuh kebajikan anggota, keluarga, dan veteran.
“Inisiatif seperti ini perlu diteruskan kerana ia mencerminkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam ketumbukan kita,” jelasnya.
Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan jamuan makan malam yang mana PTD turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada keluarga anggota yang memerlukan dan diikuti pemberian hadiah Khemah Terbaik yang dimenangi oleh 17 RAMD (Para).
Suasana penuh kemeriahan diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang menerangi langit malam.
Reunion Night ini bukan sekadar sambutan ulang tahun tetapi menjadi simbol warisan keberanian dan kekuatan yang terus subur dalam jiwa setiap anggota 10 Bgd (Para).
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Amir Hamzah