KUALA LUMPUR: Pengabdian selama 37 tahun Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman dalam perkhidmatan memberi kesan emosi syukur, bangga, kerendahan hati serta sedih kerana akan meninggalkan organisasi yang menjadi sebahagian besar dalam hidupnya.
Terdahulu PAT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas ketumbukan perkasa perbarisan penghargaan kepadanya di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 31 Jan 2025.
“Nescaya, perbarisan ini membawa erti yang mendalam buat kita semua. Ia merupakan lambang rasa hormat, pengiktirafan dan penghargaan terhadap barisan kepimpinan yang bukan sahaja ditujukan kepada diri saya, tetapi juga kepada seluruh warga angkatan yang menjadi tulang belakang kejayaan organisasi ini,” ujar PAT.
PAT dalam ucapannya menyeru kepada semua yang hadir untuk terus meningkatkan momentum bagi mencapai prestasi yang lebih cemerlang, serta kekal cekal berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang.
“Keutamaan diberikan kepada persediaan menghadapi cabaran semasa dan masa depan melalui pemodenan aset, pembangunan sumber manusia, serta pengukuhan strategi operasi. Ini adalah usaha kolektif yang melibatkan setiap lapisan warga Angkatan Tentera Malaysia.
“Perjuangan ini tidak akan pernah selesai. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan, masih banyak yang perlu kita capai dan masih banyak yang perlu kita perbaiki demi memperkukuh angkatan ini,” tegas PAT.
PAT diraikan dalam Perbarisan Penghargaan PAT Ke-22 yang dipimpin oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja, Lt Kol Mohd Eqram Mohd Rosli. Perbarisan berkonsep Berjalan Lalu dengan Istiadat mengarak Panji-panji daripada tiga cabang perkhidmatan ATM yang berkekuatan seramai 36 pegawai dan 644 anggota Lain-Lain Pangkat, diiringi oleh Gabungan Pancaragam ATM dan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja.
Selain Perbarisan Berjalan Lalu, turut diserikan dengan Formasi Terbang Lintas Hormat dan peragaan aset-aset pertahanan ATM serta persembahan khas melibatkan deklamasi sajak dan nyanyian lagu penghargaan kepada PAT Ke-22. Acara diakhiri dengan Street Lining oleh semua peringkat pegawai dan anggota yang hadir.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Muhammad Nor Akram Halib, Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan