KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Ke-22 (PAT Ke-22), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan Isteri Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) telah diraikan dengan penuh adat dan tradisi ketenteraan dalam Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) sempena persaraan PAT Ke-22 bertempat di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM pada 11 Feb 2025.
Majlis diadakan bertujuan untuk mengenang jasa serta pengorbanan yang telah dicurahkan PAT Ke-22 dan isteri didalam perkhidmatan ATM serta sebagai tanda penghargaan yang akan mengakhiri tanggungjawab selama 38 tahun.
Majlis penuh istiadat ini dimulakan dengan Minum Ucap Selamat kepada Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu ATM dan acara MMR.
PAT Ke-23, Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar dalam ucapannya mewakili seluruh warga ATM menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PAT Ke-22 dan isteri diatas segala pengorbanan dan curahan keringat selama berada didalam perkhidmatan demi memastikan ATM sentiasa unggul menjadi benteng pertahanan negara.
“Kredibiliti beliau sebagai PAT Ke-22 tidak dapat disangkal dan sumbangan beliau akan terus dikenang sebagai pemangkin kepada kemajuan serta kecemerlangan, dedikasi,kecekapan dan kepimpinan beliau yang sentiasa berpaksikan kepada profesionalisme telah membentuk hala tuju strategik yang akan terus menjadi panduan kepada generasi kepimpinan masa hadapan”, ujar beliau.
Tambahnya lagi, bukan mudah menyambung legasi yang ditinggalkan oleh PAT Ke-22, walaubagaimanapun beliau akan terus beriltizam untuk meneruskan kecemerlangan serta memperkukuh barisan yang telah dibina dalam usaha memastikan ATM kekal sebagai sebuah angkatan yang bersepadu, ampuh dan relevan menghadapi cabaran masa hadapan.
Seterusnya, majlis turut diserikan dengan tayangan montaj, persembahan Dikir Barat oleh Kumpulan “Seri Sementah Bakti”, persembahan khas dari PAT Ke-22 dan penyampaian cenderahati.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Lut, Laksamana Datuk Dr. Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sei Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Gambar: Muhammad Nor Akram Halib