KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi simbol kemenangan dalam mengawal hawa nafsu serta menjadi insan yang lebih baik.
Beliau menyatakan bahawa Ramadan telah mengajar kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan yang perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Syawal adalah masa untuk memaafkan, mengeratkan silaturahim dan membantu mereka yang memerlukan.
“Aidilfitri bukan hanya tentang juadah dan pakaian baharu, tetapi lebih kepada menghayati nilai-nilai persaudaraan dan kesyukuran,” jelas PTD ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1446H di Auditorium Wisma Pertahanan pada 25 Mac 2025.
Tambah beliau, sebagai sebuah organisasi yang kukuh, Tentera Darat perlu melangkah ke hadapan dengan semangat yang lebih kuat.
“Ulang tahun ke-92 Tentera Darat seharusnya menjadi pemangkin untuk kita lebih matang dalam pemikiran dan tindakan, bukan sekadar angka,” katanya.
Dalam menghadapi cabaran global, PTD turut mengingatkan setiap anggota untuk kekal fokus kepada misi dan tanggungjawab, mengutamakan kepentingan organisasi melebihi kepentingan peribadi serta memahami makna sebenar perjuangan dalam mempertahankan negara.
Beliau turut menasihati mereka yang bercuti agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan menyambut Aidilfitri dengan kesederhanaan, manakala anggota yang bertugas di perbatasan serta luar negara hendaklah teruskan menjalankan amanah dengan penuh disiplin dan keselamatan.
Majlis perutusan ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada semua pegawai dan anggota yang hadir.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib & Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan