KEDAH: Sebanyak sembilan syarikat pertahanan secara rasmi mengesahkan penyertaan dalam Pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2026 menerusi Majlis Penyerahan Kontrak yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 21 Mei 2025.
Antara syarikat yang terlibat ialah Ada Vinci Global, Advance Defence Systems, Cendana Auto, IDC Technologies, Mega Arms, Nizra Group, Rohde & Schwarz, Weststar Defence Industries dan VR Universal.
MENHAN menyatakan bahawa penyertaan awal sembilan syarikat ini mencerminkan keyakinan industri yang semakin kukuh serta minat berterusan terhadap penganjuran acara pertahanan dan keselamatan berprestij tersebut.
“DSA dan NATSEC menjadi platform utama yang menghimpunkan kerajaan, pemimpin industri dan profesional pertahanan untuk bersama-sama menangani cabaran keselamatan semasa,” katanya.
Acara DSA dan NATSEC Asia 2026 dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur bermula dari 20 hingga 23 Apr 2026.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut menyempurnakan pelancaran CBRNE Arena, satu zon pameran khas yang memberi tumpuan kepada ancaman Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan.
Arena ini akan menampilkan pameran berteknologi tinggi, demonstrasi secara langsung serta sesi perbincangan bersama pakar bagi memperkukuh kesiapsiagaan global, keupayaan tindak balas krisis dan inovasi dalam teknologi keselamatan.
Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir