KUALA LUMPUR: Seramai 16 pegawai dan 257 anggota Lain-Lain Pangkat Rejimen Semboyan Diraja (RSD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mantan Pengerusi RSD, Mej Jen Dato’ Ts. Tuan Azharan Tuan Putra yang diketuai oleh Lt Kol Zahrul Izwady Zahudin dari Skuadron Semboyan Briged Ke-10 Infantri (Para) bertempat di Padang Kawad Cawangan Rejimental, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) pada 24 Jul 2025.
Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat ini terdiri dari empat Detasmen Perbarisan dan diiringi oleh Gabungan Brassband Wanita RSD dan Brassband Rejimen 502 Askar Wataniah dibawah pimpinan Lt Nur Liyana Hanani Mohamad Sulaiman.
Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mej Jen Dato’ Ts. Tuan Azharan Tuan Putra di atas segala khidmat bakti, jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang 42 tahun berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.
“Perbarisan ini dianjurkan adalah sebagai tanda terima kasih daripada seluruh warga TD kepada Mej Jen Dato’ Ts. Tuan Azharan Tuan Putra yang merupakan seorang pegawai kanan yang berwibawa serta mempunyai ketokohan yang perlu dicontohi oleh setiap warga RSD.
“TD akan kehilangan khidmat seorang pegawai kanan yang selama ini berdedikasi dalam mencurahkan khidmat bakti kepada perkhidmatan, bangsa dan negara tercinta ini.
“Sepanjang berkhidmat di dalam dan luar negara Mej Jen Dato’ Ts. Tuan Azharan Tuan Putra sentiasa komited terhadap tugas yang diamanahkan”, jelas TPTD.
Menelusuri latar belakang Mej Jen Dato’ Ts. Tuan Azharan Tuan Putra, beliau telah menyertai ATM pada 18 Jul 1983 sebagai Pegawai Kadet Universiti di Maktab Tentera Diraja dan ditauliahkan di dalam Rejimen Semboyan Diraja pada 30 Jul 1988.
Pasukan pertama beliau adalah 7 Skuadron Semboyan Diraja dengan memegang jawatan sebagai Ketua Trup sebelum memegang pelbagai jawatan penting antaranya adalah, Ajutan di 95 RSD, Pegawai Memerintah di 3 RSD, Pegawai Staf 1 Gerak dan Pegawai Staf 1 Teknikal di Jabatan Arah RSD.
Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera, Ketua Tim Projek Network Centric Operation (NCO) dan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pegawai Semboyan merangkap Pengerusi RSD.
Diperingkat antarabangsa, beliau pernah terpilih mewakili ATM sebagai Malaysia Exchange Instructor di Australia dan bertugas di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan sebagai Pegawai Pemerhati Tentera.
Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati, jamuan makan serta tayangan video montaj di Dewan Dato’ Jamil Ahmad sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan ke atas Mej Jen Dato’ Ts. Tuan Azharan Tuan Putra.
Turut hadir, Pengerusi RSD, Brig Jen Dato’ Dr Adnan Ajis, Pengarah Kanan Operasi Strategi dan Pembangunan, Bahagian Siber dan Elektromagnetik, Brig Jen Ts. Hamidi Achin, Pengarah Peperangan Informasi, Brig Jen Rosli Maarof dan Komandan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat, Brig Jen Ahmad Jais Taslim.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, Rjr Raja Khairul Hussaini Raja Roslan dan Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri