KUALA LUMPUR: Seramai 28 Pegawai Kanan Tentera Darat dan 83 pegawai terlibat dalam Majlis Penutup Pra Kursus Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dan Pra Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (Bersama) yang disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim bertempat di Dewan Tanjung, Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 17 Okt 2025.
Matlamat kursus selama 14 hari bermula pada 5 hingga 17 Okt 2025 adalah untuk mempersiapkan serta memastikan semua calon pegawai bersedia dari segi mental, fizikal dan semua aspek terutamanya dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan mampu mengambil bahagian dalam perbincangan serta memberikan pandangan bersama-sama penuntut dari lain-lain perkhidmatan, agensi mahupun penuntut dari luar negara.
Inisiatif ini dirancang oleh Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat adalah untuk memberikan input yang signifikan serta pengetahuan yang komprehensif dalam menyediakan calon penuntut menghadapi kedua-dua kursus yang dijadualkan akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Majlis diakhiri dengan Yang Dipertua Pra Kursus Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan), Kol Ir, Zulkeri Noordin dan Naib Yang Dipertua Pra Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (Bersama), Mej Wan Azrul Yahya menyampaikan cenderahati kepada TPTD sebagai tanda kenangan.
Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej Jen Dato’ Mohammad Razeif Che Ahmad, Inspektorat Jeneral Tentera Darat, Mej Jen Sobirin Hj Mohd Yusof dan Pengarah Pergigian ATM, Mej Jen Dato’ (Dr) Zulkifli Zainal Abidin.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul dan Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan