KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-30, Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammd Hafizuddeain Jantan menzahirkan rasa bangga dan terharu atas penganjuran majlis penghargaan dirinya, sambil menyifatkan Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) sebagai satu ketumbukan yang banyak membentuk jati diri dan nilai kepimpinan beliau.
“Formasi ini amat dekat di hati saya dan segala kenangan sepanjang berkhidmat di bawah PMBTD akan saya kenang selama-lamanya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan Tentera Darat akan terus kekal utuh walaupun kepimpinan silih berganti.
“Walaupun kepimpinan datang dan pergi, Tentera Darat akan terus megah berdiri dan menjadi tanggungjawab kita memastikan legasi keramat ini terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang,” ujarnya ketika berucap.
Terdahulu, ketibaan beliau disambut oleh Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) sebelum diteruskan dengan Perbarisan Penghargaan berkonsepkan Berjalan Lalu yang melibatkan lima detasmen berkekuatan seramai 20 pegawai dan 390 anggota LLP diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen Ke-33 Artileri Diraja (33 RAD), Lt Kol Mohd Ridwan Razali.
Perbarisan tersebut dilaksanakan di Padang Kawad Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) pada 22 Dis 2025 sebagai simbolik penghargaan terhadap jasa, khidmat dan bakti PTD Ke-30 yang turut pernah menjawat jawatan sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) Ke-22.
Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu ini sebagai simbolik bagi menghargai jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan oleh PTD Ke-30 yang turut pernah menjawat jawatan sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD) Ke-22.
PTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga PMBTD atas pengiktirafan dan penghormatan yang diberikan kepadanya.
Di masa yang sama beliau turut memuji kekemasan dan kesegakan yang ditunjukkan oleh semua anggota perbarisan dan beliau berharap usaha itu hendaklah diteruskan demi melestarikan Sistem Pemerintahan Rejimental yang telah sebati dalam kalangan warga TD.
Turut hadir, PMB TD, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Fazal Hj Abdul Rahman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad dan Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmd Natal.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & LKpl Syfiqrullah Mazlan




