KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menegaskan bahawa kenaikan pangkat bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
Menurut beliau, kenaikan pangkat adalah hasil daripada kecemerlangan, usaha dan prestasi yang telah dibuktikan, namun pada masa sama ia melambangkan kepercayaan yang diletakkan oleh organisasi kepada setiap pegawai.
“Ingatlah, selepas ini setiap tingkah laku dan tutur kata membawa tanggungjawab lebih besar, dan setiap langkah positif akan memacu Tentera Darat ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang.
“Kepada para pegawai yang dinaikkan pangkat, ambillah peluang dan kapasiti yang ada untuk memperbetulkan keadaan, memperbaiki perkara yang jelas salah, mengemas kini apa yang sudah tidak sesuai serta memperkukuh apa yang terbukti berkesan.
“Dengan jawatan baharu ini, ketegasan dan kejujuran semua mampu membawa impak serta perubahan yang positif kepada organisasi,” ujar beliau ketika menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai TD di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 28 Jan 2026.
Dalam majlis yang sama, beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pegawai yang dinaikkan pangkat serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tokoh-tokoh korporat atas sumbangan mereka.
Menurut beliau, sokongan tersebut merupakan elemen penting dalam memperkasa konsep Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) dalam ekosistem pertahanan dan keselamatan negara.
Pada majlis tersebut, PTD telah menyempurnakan pemakaian pangkat melibatkan 43 Pegawai Kanan TD, seorang Kolonel (Kehormat), seorang Leftenan Kolonel (Sukarela) dan dua Mejar (Kehormat).
Turut diraikan ialah 32 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang mempunyai kelayakan serta kepakaran tertentu dan ditauliahkan ke pangkat Leftenan Muda Senarai Tugas Khas (STK).
Mereka terdiri daripada seorang anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 10 anggota Rejimen Semboyan Diraja (RSD), seorang anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), seorang anggota Rejimen Artileri Diraja (RAD), empat anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD), tiga anggota Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), tujuh anggota Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) serta lima anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, Rjr Raja Khairul Hussaini Raja Roslan, Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri dan Pbt Muhammad Shamil Haikal Mohd Yusoff.



