MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31, Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menjelaskan dengan lebih terperinci tentang amanat dan hala tuju Tentera Darat (TD) semasa menyampaikan Perintah Ulung beliau di Dataran Parawood, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para) pada 4 Feb 2026.
Perkembangan pesat teknologi dunia telah mempengaruhi kaedah peperangan masa kini, justeru itu TD tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang dan perlu segera melangkah untuk menghadapi konsep peperangan masa hadapan yang berteraskan teknologi moden.
PTD menegaskan bahawa asas perancangan dan pemerkasaan keupayaan TD perlu diperkukuhkan secara tersusun berpandukan dokumen strategik pertahanan negara seperti Kertas Putih Pertahanan (KPP), Strategi Keselamatan Negara (SKN), Angkatan Masa Hadapan (AMH) serta Strategi Domain Daratan (SD²) sebagai teras pertimbangan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan.
Dalam amanatnya, beliau turut menyentuh cabaran dalaman yang sedang dihadapi organisasi ketika ini.
“Tentera Darat sedang dilanda badai gelora sehingga berlakunya defisit kepercayaan kepada kita semua dan saban hari kita dikecam dan dicemuh bagaikan tiada penghujungnya.
“Segala keringat, jasa dan pengorbanan serta darah merah yang tumpah mengalir dan nyawa-nyawa terkorban sehingga isteri menjadi balu, anak-anak kehilangan bapa tersayang dalam mempertahankan kedaulatan bumi tidak lagi menjadi sanjungan dan tidak mendapat pujian.
“Inilah yang dikatakan akibat nila setitik, rosak susu sebelanga, akibat kecurangan sekumpulan sejarah taat setia dan gagah setia puluhan tahun menjadi hitam.
“Defisit kepercayaan masyarakat adalah cabaran dalaman terbesar yang perlu kita semua hadapi.
“Tepatlah pada masanya untuk kita melaraskan kembali arah tuju organisasi ini agar tidak terus terpesong dalam kecelaruan yang mengaburi kita semua,” tegasnya.
Tambah PTD lagi, beliau berkeyakinan bahawa bersama-samanya masih ramai yang terus taat setia, jujur, amanah dan masih ramai yang rela berkorban apa sahaja demi tanah air tercinta ini.
Beliau menggariskan dua prinsip yang wajib dipegang sebagai kompas penentu arah sebagai panduan dalam setiap keputusan dan ukuran dalam setiap tindakan.
Prinsip pertama adalah Identiti Kita Sebagai Warga TD dan prinsip yang kedua merupakan Etos Kepahlawan dan Ikrar Kesatria.
Terdahulu, PTD menerima tabik hormat dalam perbarisan tempur melibatkan seramai 240 pegawai dan 2,160 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para), Lt Kol Mohd Ashafiq Abdul Aziz yang merangkumi kekuatan daripada 10 Bgd (Para), 21 GGK serta 3 Div sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan dan semangat kebersamaan warga TD.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Dato’ Ahmad Shuhaimi Mat Wajab dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Datuk Khairul Anwar Soib.
Gambar: Kpl Kenny Roy Jellis, Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Meor Danish Aniq



