Tag: Auditorium

  • 24 Anggota BKTD Diserap Ke Angkatan Tetap

    24 Anggota BKTD Diserap Ke Angkatan Tetap

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain merakamkan ucapan tahniah kepada 24 anggota sukarela Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk dipertugaskan sepenuh masa ke dalam angkatan tetap.

    “Bersainglah secara sihat dalam mengejar kerjaya masing-masing dan terapkan disiplin sebagai teras dalam melaksanakan apa jua tugasan yang telah diamanahkan.

    “Saya berharap upacara ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus kreatif dan inovatif dalam meningkatkan lagi kualiti persembahan pada masa akan datang sekaligus menaikkan imej TD,” jelas PTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tadbir Sumpah Anggota Sukarela Yang Dipertugaskan Sepenuh Masa bertempat di Auditorium BKTD pada 15 Feb 2023.

    Majlis dimulakan dengan upacara lafaz tadbir sumpah yang dipimpin oleh Pegawai Tadbir Sumpah, Mej Mohd Dhany Mohd Nor dari Markas Tentera Darat – Cawangan Sumber Manusia (MK TD – CSM).

    Seterusnya, PTD diiringi Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mej Jen Dato’ Hamdan Hj Ismail bagi menyempurnakan acara Pemakaian Beret Kor ke atas anggota yang diserap ke angkatan tetap.

    Sebagai tanda penghargaan, PTD berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada setiap sel BKTD atas jasa dan sumbang bakti dalam menjayakan setiap persembahan.

    Pelaksanaan upacara ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.

  • ‘Ibrah Di Sebalik Musibah’ Menginsafi Dan Muhasabah Diri

    ‘Ibrah Di Sebalik Musibah’ Menginsafi Dan Muhasabah Diri

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mewakili Panglima Angkatan Tentera (PAT) menyempurnakan Program Pentarama Zikir dan Fikir Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2022 yang bertemakan ‘Ibrah di Sebalik Musibah’ bertempat di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 26 Jan 2022.

    Penganjuran program ini merupakan inisiatif Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dengan kerjasama daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai program pengisian rohani bagi warga ATM sempena tahun baharu 2022 bermatlamatkan kepada konsep muhasabah diri dengan mengambil pengajaran dan kembali menginsafi serta pengharapan kepada Allah S.W.T atas dugaan yang diturunkan.

    Antara pengisian daripada program ini adalah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, penyampaian Tausiah oleh Ustaz Elyas Ismail serta persembahan nasyid daripada Kumpulan Nasyid Furqan yang ditubuhkan sejak 1993 diiringi oleh Kumpulan De’Potera dari Pusat Latihan Kor Polis Tentera Darat (KPTD) dan Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

    Sempena majlis ini, PTD turut melancarkan laman web rasmi KAGAT sebagai medium siber untuk masyarakat memahami peranan serta hala tuju KAGAT di dalam proses dan gerak kerja kerohanian warga ATM yang merupakan benteng utama pertahanan negara sebagai medium penyampaian wadah ilmu dan dakwah kepada warga ATM serta seluruh umat islam di Malaysia.

    Majlis diakhiri dengan penyerahan hadiah oleh PTD bagi penyertaan Kempen Pahlawan Bank Islam dan Sambutan Hari ATM Ke-88 yang dianjurkan oleh BIMB.

    Kempen yang berobjektifkan pengukuhan hubungan dan mempromosikan produk pembiayaan patuh syariah BIMB kepada pelanggan yang terdiri daripada warga ATM, menyaksikan seorang pegawai ATM memenangi hadiah utama iaitu Proton X50 dan lima lagi pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) memenangi sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 (A) manakala 30 anggota terdiri daripada pegawai dan LLP memenangi baucar peralatan rumah bernilai RM 3,000.00.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM,  Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi, Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Hj Muhammad Azmi Wahad dan Ketua Pegawai Perniagaan BIMB, Mizan Masram.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi