Tag: Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein

  • Warga Tentera Darat Terus Diberi Perhatian

    Warga Tentera Darat Terus Diberi Perhatian

    KELANTAN: Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Muhammad Haffizudeain Jantan mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyantuni warga Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd), Kem Desa Pahlawan pada 1 Nov 2022.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Panglima 8 Bgd, Brig Jen Abu Hassan Assha’ari Kamis @ Shaffiee.

    Lawatan kemudian diteruskan ke Dewan Sri Pahlawan bagi sesi beramah mesra dan jamuan makan tengah hari sekaligus menyampaikan sumbangan kebajikan kepada warga 8 Bgd yang memerlukan, diikuti penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Penyampaian Komputer Riba.

    Sumbangan kebajikan melibatkan seramai lima orang yang didahului oleh Kpl Afindi Che Ahmad dari Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) yang mengalami penyakit SLE with Lupus Nephritis Class V dan SLE with Multi Organ Involvement (Renal, Joint, Hematological).

    Kpl Mohamad Zuhadi Mat Jusoh dari Skuadron Semboyan Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 SSB) pula mengalami kecederaan patah tulang pinggul, patah lengan kanan, kecederaan otak dan kecederaan hati akibat daripada kemalangan jalan raya pada 19 Apr 2021 yang lalu.

    Sumbangan turut diberikan kepada tiga anak warga 8 Bgd, didahului adik Nur Qistina Airis, berusia lima tahun anak kepada Kpl Mohd Azhar Ahmad dari 16 RAMD yang menghidap kanser mata sebelah kanan (Right Eye Retinoblastoma) dan menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Manakala anak Kpl Muhammad Fadli Sulong dari 15 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Askar Wataniah (AW) iaitu Muhammad Irfan Firdauss Muhammad Fadli berusia sembilan tahun mengalami masalah kekurangan sel darah merah dan pencairan darah yang cepat (Beta Thalassemia Major).

    Penerima terakhir bagi sumbangan kebajikan merupakan anak perempuan PW II Muhamad Hakim Hood dari Bateri Charlie (C Bti) Rejimen Ke-52 Artileri Diraja (52 RAD) iaitu Nur Izz Zoffia Hayfa berusia tiga tahun mengalami masalah jantung terbalik (Dextrocardia Situs Ambigous) serta masalah hati (Billiary Atresia) yang membawa kepada pembedahan pemindahan hati.

    Sempena lawatan Menteri Kanan Pertahanan, beliau turut berkesempatan menyampaikan anugerah kepada lima anak warga 8 Bgd yang merekodkan pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

    Usai penyampaian anugerah tersebut, beliau juga menyampaikan sumbangan komputer riba kepada tujuh orang anak warga 8 Bgd yang sedang melanjutkan pelajaran di IPTA.

    Turut hadir, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Tuan Mohamad Farizal Tuan Dir

    #KesejahteraanWargaTD

  • Menteri Kanan Pertahanan Lawat 4 RAMD

    Menteri Kanan Pertahanan Lawat 4 RAMD

    PERAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) pada 25 Okt 2022.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan disambut Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Bgd), Brig Jen Fazal Hj Abdul Rahman dan Pegawai Memerintah 4 RAMD.

    Menteri Kanan Pertahanan seterusnya menyantuni warga Gurkha Malaya yang sedang melangsungkan Perlawanan Akhir Futsal Antara Kompeni 4 RAMD.

    Lawatan kemudian diteruskan ke Wisma Bintara 4 RAMD bagi sesi ramah mesra dan menyampaikan bantuan kebajikan terhadap enam ahli keluarga warga 4 RAMD yang kurang bernasib baik.

    Penerima pertama merupakan anak kepada SSjn Mohd Faizol Jaafar iaitu Muhammad Asyraf Danish, 12 tahun yang menghidap Autisme dan kini menjalani rawatan susulan di Klinik Pediatrik, Hospital Taiping.

    Penerima kedua ialah anak kepada Sjn Abdullah Tauhid Adood iaitu Harraz Umar Abdullah berumur empat tahun yang menghadapi masalah kekurangan sel darah merah dan kini menjalani rawatan di Hospital Tapah.

    Penerima ketiga pula ialah anak kepada Sjn Muhammad Sulaiman Hussin iaitu Muhammad Danish Lutfi berumur 10 tahun yang menghidap Autisme dan menerima rawatan di Klinik Pediatrik Hospital Teluk Intan.

    Penerima seterusnya merupakan anak kepada Sjn Al-Rashid Samsudin iaitu Nuralya Imani Tasneem berumur lapan tahun yang mengalami komplikasi buah pinggang dan masih menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Kuala Lumpur.

    Lawatan kebajikan diteruskan lagi dengan menyantuni anak kepada Kpl Wan Abdul Mutallib Wan Jusoh iaitu Wan Muhammad Faris berumur lapan tahun yang mengalami masalah tekanan darah rendah dan kini menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh serta Institut Jantung Negara (IJN).

    Penerima terakhir merupakan anak kepada Kpl Muhammad Firdaus Zulkifli iaitu Siti Nor Khadijah berusia satu tahun yang mengalami masalah jantung berlubang dan juga menerima rawatan di IJN.

    Turut hadir, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

    #KesejahteraanWargaTD

  • Warga ATM Sekitar Kuching Nikmati Fasiliti Kesihatan Baharu

    Warga ATM Sekitar Kuching Nikmati Fasiliti Kesihatan Baharu

    SARAWAK: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan projek perintis bernilai RM 28.4 juta mula dibangunkan pada Nov 2017 bakal menempatkan khidmat doktor pakar perubatan serta pakar pergigian.

    “Selain itu, tiga buah Poliklinik Kesihatan ATM sedang dalam proses pembinaan di Negeri Johor, Terengganu dan Kedah, manakala sebuah lagi dalam proses perolehan tender dan dijangka akan dibina di Negeri Pahang,” jelasnya.

    Menteri Kanan Pertahanan berkata demikian semasa sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Poliklinik Kesihatan ATM di Kem Penrissen, Kuching pada 5 Ogos 2022.

    Poliklinik berkeluasan 13,643 meter persegi ini merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bersama ATM bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap hospital kerajaan dan pusat-pusat kesihatan ATM di samping memudahkan kira-kira 12,000 anggota ATM, keluarga serta Veteran ATM di sekitar Kuching untuk menikmati kemudahan kesihatan yang selesa dan lebih baik.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

    Menteri Kanan Pertahanan memulakan acara memotong riben di pintu hadapan poliklinik sebagai simbolik perasmian sebelum menyempurnakan gimik dengan memasukkan replika kunci ke dalam kotak serta menandatangani Plat Perasmian.

    Para hadirin turut dipertontonkan demonstrasi Tatacara Mendaftar Pesakit yang mana Menteri Kanan Pertahanan membantu membawa seorang pesakit berkerusi roda ke Pusat Dialisis.

    Seterusnya Menteri Kanan Pertahanan diberi taklimat secara walking brief semasa lawatan di sekitar poliklinik yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti Klinik Tentera, Klinik Kesihatan Keluarga, Unit Kecemasan, Wad Pesakit Dalam, Pusat Hemodialisis, Unit Rehabilitasi, Perkhidmatan Pergigian, Perkhidmatan Kesihatan Awam serta kemudahan sokongan perubatan seperti Makmal Perubatan, Farmasi dan Pengimejan.

    Program ini merupakan salah satu daripada Pelan Strategik MINDEF (PSM) Tahun 2021-2025 di bawah Teras Empat iaitu Pengukuhan Kerjasama Tentera-Awam (CIMIC).

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

    #KesejahteraanWargaTD
    #PelanStrategikMindef

  • KPTD Mengungguli Perlawanan Akhir Bola Sepak Antara Kor Dan Rejimen Tahun 2022

    KPTD Mengungguli Perlawanan Akhir Bola Sepak Antara Kor Dan Rejimen Tahun 2022

    KUALA LUMPUR: Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) muncul juara dalam Perlawanan Akhir Bola Sepak Antara Kor dan Rejimen Tahun 2022 menewaskan Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) dengan jaringan satu (1) gol berbalas kosong (0) di Padang Bola Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 29 Jul 2022.

    Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain telah hadir bagi memeriahkan lagi suasana perlawanan akhir di antara KJLJD dan KPTD.

    Selain mewujudkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi, pertandingan bola sepak antara Kor dan Rejimen ini bertujuan untuk memilih pemain berpotensi bagi mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa serta mencungkil bakat-bakat baharu agar dapat diketengahkan di peringkat ATM.

    Terdahulu, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman diiringi Panglima Divisven Keempat Infantri Malaysia (4 Div), Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran diperkenalkan kepada para pemain sebelum menyempurnakan gimik penyerahan bola oleh seorang wanita seakan perkhidmatan penghantar barangan sebagai simbolik perasmian Perlawanan Akhir Bola Sepak Antara Kor Dan Rejimen Tahun 2022.

    PTD menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada dua pemain terbaik di mana Anugerah Penjaring Terbanyak disandang oleh Kpl Nor Fakhrudin Harun daripada KJLJD manakala Anugerah Pemain Terbaik dinobatkan kepada Kpl Amirul Moideen daripada KPTD.

    Anugerah Kumpulan bagi Piala Fairplay diberi kepada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) manakala KPTD yang merangkul Johan Keseluruhan membawa pulang pingat emas dan Mock Cheque bernilai RM3,000.

    KJLJD selaku Naib Johan membawa pulang pingat perak dan Mock Cheque bernilai RM2,000 manakala bagi tempat ketiga disandang oleh Rejimen Artileri Diraja (RAD) beroleh pingat gangsa berserta Mock Cheque RM1,000.

    Penglibatan dan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh anggota TD sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Lawatan Rasmi Agong XVI Ke Kementerian Pertahanan

    Lawatan Rasmi Agong XVI Ke Kementerian Pertahanan

    KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli mengadakan Lawatan Rasmi ke Wisma Kementerian Pertahanan pada 4 Jul 2022.

    Keberangkatan tiba baginda di perkarangan Wisma Pertahanan disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.

    Sejurus kemudian, baginda menerima Tabik Hormat Diraja serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai empat pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Nurul Fauzan Md Sabri.

    Dalam sesi lawatan ini, baginda berkenan menerima sembah taklimat daripada Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenaan Pelan Pemulihan Aset Littoral Combat Ship (LCS), Pindaan Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), agenda memperkasakan Veteran
    ATM dan Pengoperasian Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

    Lawatan Rasmi ke Kementerian Pertahanan ini merupakan julung kali dizahirkan baginda ke atas organisasi kementerian-kementerian di Malaysia sejak ditabalkan sebagai KDYMM SPB YDP Agong Ke-16.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM bersama Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan ATM.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Riffat Mohd Yusof

  • LKT 2022 Uji Kesiagaan Sistem Persenjataan ATM

    LKT 2022 Uji Kesiagaan Sistem Persenjataan ATM

    NEGERI SEMBILAN: Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 merupakan pendekatan yang selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pelan Strategik MINDEF 2022 serta Kertas Putih Pertahanan iaitu memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

    Ia merupakan salah satu daripada pelbagai usaha berterusan yang MINDEF dan ATM laksanakan khususnya sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terus dilengkapi aset-aset yang diperlukan biarpun mendepani era pasca pandemik yang serba mencabar.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain selaku penganjur LKT 2022 bertempat di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 21 Jun 2022.

    Menteri Kanan Pertahanan berkata dalam isu Helikopter MD 530G, proses perolehan dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) di mana dapat disaksikan serta diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini.

    “LKT ini berupaya mempamerkan atur gerak dan keupayaan combat team dalam ketumbukan combined arms melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik bagi memperagakan keberkesanan sistem persenjataan ATM dalam senario pertempuran masa kini di samping memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT),” jelasnya.

    Seramai 2,300 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam LKT 2022 dan turut memperagakan 644 buah aset serta persenjataan melibatkan PT91M PENDEKAR, AV8 GEMPITA, AV4 LIPAN BARA, ACV 300 ADNAN dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV), manakala kuasa tembakan menggunakan persenjataan berkaliber kecil dan besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) ASTROS II, Meriam 155mm G5 MK III, Meriam 105mm PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120mm dan 81mm serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40mm).

    Selain itu, latihan tembakan turut melibatkan persenjataan peringkat kompeni iaitu Colt M4, Minimi, GPMG, RPG-7 dan Mortar 60 MM, senjata batalion terdiri daripada Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL), manakala pesawat terlibat adalah Helikopter MD 530G dan Agusta A109 LOH dari PUTD, Eurocopter EC-725 CARACAL dari TUDM, Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM.

    Helikopter MD 530G yang dikendalikan oleh 883 Skuadron PUTD merupakan aset baharu Tentera Darat (TD) turut mempamerkan keupayaannya buat pertama kali dengan melakukan serangan menggunakan M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.

    Di samping itu, dalam segmen tembakan tidak langsung, keupayaan Tactical Display Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini telah dipertontonkan yang mana melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.

    Pelaksanaan latihan ini adalah selari dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon dan Riffat Mohd Yusof.

  • Menteri Kanan Pertahanan Rai Warga KEMENTAH Dan ATM Sempena Aidilfitri

    Menteri Kanan Pertahanan Rai Warga KEMENTAH Dan ATM Sempena Aidilfitri

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Seroja dan Padang Kawad KEMENTAH pada 24 Mei 2022.

    Dalam majlis tersebut, seramai 5,000 warga KEMENTAH dan ATM hadir memeriahkan sambutan di samping meraikan seluruh warga KEMENTAH dan ATM yang berkhidmat di Wisma Pertahanan dan kawasan sekitar.

    Pada majlis ini juga, seramai 118 orang telah menerima sumbangan daripada pihak KEMENTAH yang terdiri daripada warga Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), warga Kelab Kakitangan Awam KEMENTAH (KAKEP), warga ATM, warga Veteran ATM dan Pusat Tahfiz Maahad Al-Quran Misbahul Falah Taman Keramat.

    Pada masa yang sama tidak ketinggalan juga kejayaan Atlet ATM dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam turut diraikan yang mana secara keseluruhannya atlet ATM dengan cemerlang telah membawa pulang dua pingat emas, lima pingat perak dan lapan pingat gangsa manakala atlet UPNM pula meraih empat pingat emas dan satu pingat gangsa.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

  • Tekad Perjuang Kebajikan Warga ATM – Menteri Kanan Pertahanan

    Tekad Perjuang Kebajikan Warga ATM – Menteri Kanan Pertahanan

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein meyakinkan bahawa beliau akan memperjuangkan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sepenuh jiwa selain memberi fokus dalam mempertahankan negara, meningkatkan keupayaan aset dan mengukuhkan kerjasama pertahanan dengan negara sekutu.

    “Pelbagai pelaksanaan berkaitan kebajikan telah berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh Sep 2021 hingga Mei 2022, antaranya sejumlah 2,529 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) telah siap dan boleh diduduki di Bukit Jalil, Kem Pakit, Kem Oran dan Kem Segamat.

    “Selain itu, pengeluaran caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk haji dan pendidikan dibenarkan, bayaran Persinggahan Pelabuhan Luar Negara kepada anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinaikkan, Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) dinaikkan 10 hari dan dividen LTAT juga diumum menjadi yang tertinggi sejak 2019,” jelasnya.

    Menteri Kanan Pertahanan berkata demikian dalam ucapannya setelah menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Galeri Jualan, Sateria Residensi Platinum South Valley, Sungai Besi pada 20 Mei 2022.

    Blueprint Perumahan 3.0 merupakan satu bentuk perancangan agenda perumahan menyeluruh KEMENTAH bagi membela kebajikan anggota dan veteran ATM termasuk ahli keluarga mereka.

    Seterusnya, Menteri Kanan Pertahanan turut menyaksikan Majlis Menandatangani Jual Beli Perumahan SASaR kepada tiga penerima daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan yang terlibat dalam program Corporate Social Responsibility (CSR) Projek SASaR ini.

    Untuk rekod, Projek SASaR Sateria Residensi yang berkeluasan 23.11 ekar dibangunkan oleh Syarikat Pembinaan Serta Hebat Sdn Bhd.

    Sejumlah 3,500 unit rumah melibatkan lima blok pangsapuri terdiri daripada tiga jenis unit iaitu Jenis A sebanyak 1,800 buah unit berkeluasan 1,000 kaki persegi berharga RM 150,000, manakala Jenis B sebanyak 1,200 buah unit berkeluasan 1,100 kaki persegi berharga RM 199,000 dan Jenis C sebanyak 500 buah unit berkeluasan 1,200 kaki persegi berharga RM 250,000.

    Rumah-rumah ini juga telah dipecahkan mengikut perkhidmatan iaitu Tentera Darat (TD) sebanyak 1,800 unit (1,260 unit untuk anggota dan 540 unit veteran), TLDM sebanyak 600 unit (420 unit untuk anggota dan 180 unit veteran), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebanyak 600 unit (420 unit untuk anggota dan 180 unit veteran) dan bagi Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan pula sebanyak 500 unit.

    “InsyaAllah dalam tempoh dari tahun 2027 hingga tahun 2033, sebanyak 974 unit SASaR akan dibina secara berperingkat di Kem Wardieburn, manakala 6,400 unit lagi akan dibina secara berperingkat di Kem Genting Klang,” ujar Menteri Kanan Pertahanan.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman TUDM.

  • Menteri Kanan Pertahanan Raikan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga ATM

    Menteri Kanan Pertahanan Raikan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga ATM

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein meluangkan masa menghadiri dan memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 16 Mei 2022.

    Setelah tidak dapat dilaksanakan sejak dua tahun lalu akibat penularan wabak COVID-19, majlis pada kali ini diadakan melalui kelonggaran penganjuran majlis-majlis rasmi dalam fasa endemik yang mana melibatkan kehadiran seramai 2,000 warga ATM, Kementerian Pertahanan dan veteran ATM.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan isteri, Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajjah Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah serta para pegawai kanan.

    Menteri Kanan Pertahanan turut menyempurnakan penyampaian sumbangan Hari Raya yang disediakan oleh Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) kepada 35 anggota tentera cedera terdiri daripada lima anggota masih dalam perkhidmatan dan 30 telah bersara.

    Majlis yang dikoordinasikan oleh Bahagian Logistik Pertahanan (BLP) ATM menyajikan pelbagai juadah Hari Raya kepada para tetamu yang hadir di samping diserikan dengan persembahan hiburan daripada gabungan ketiga-tiga Badan Kesenian Perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah

     

  • Jasa Dan Pengorbanan Para Perajurit ATM Dihargai – Menteri Kanan Pertahanan

    Jasa Dan Pengorbanan Para Perajurit ATM Dihargai – Menteri Kanan Pertahanan

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa sesebuah organisasi tentera yang memiliki aset yang canggih, latihan yang mantap, strategi yang ampuh, tidak akan pernah lengkap tanpa moral anggota yang tinggi.

    “Dan bagi memelihara moral ini, kebajikanlah jawapannya.

    “Majlis ini menjadi satu platform untuk kita mengenang jasa dan pengorbanan para perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak kiralah yang berceloreng hijau, putih mahupun biru, sama ada di dalam hutan belantara, samudera mahupun ruang udara, saya sedar bahawa khidmat bakti setiap anggota amat besar dan penting kepada tanah air.

    “Kerana itulah setiap kali meraikan bulan Ramadan di Kementerian Pertahanan, majlis seumpama ini merupakan salah satu majlis yang saya nanti-nantikan,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada ATM Tahun 2022 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 14 Apr 2022.

    Tambahnya lagi, kurang dari tiga minggu umat Islam bakal meraikan 1 Syawal dan akan berkumpul dengan ahli keluarga, bertakbir, solat sunat Aidilfitri, bermaafan serta menikmati juadah raya bersama-sama dan ia merupakan saat yang sangat berharga.

    “Akan tetapi, kita juga perlu sedar bahawa ada segelintir yang tidak berpeluang merasainya di mana mereka juga sama seperti kita semua mempunyai suami dan isteri, anak-anak serta ibu bapa yang dicintai.

    “Ketiadaan mereka bersama keluarga pada 1 Syawal demi memastikan kita semua yang berada di rumah, dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga dalam suasana yang aman dan tenteram,” ujar Menteri Kanan Pertahanan.

    Selain itu, beliau juga mengumumkan beberapa perkara penting yang berkait rapat dengan soal kebajikan warga ATM seperti inisiatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang bersetuju untuk memperkenalkan dua kemudahan pengeluaran baharu iaitu pengeluaran haji dan pengeluaran pendidikan yang mana kedua-dua pengeluaran ini dibenarkan sekali sepanjang tempoh perkhidmatan setiap ahli yang berkuatkuasa mulai 15 Apr 2022.

    Tambahan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengesahkan bahawa inisiatif terbaharu Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang diberikan kepada penjawat awam turut akan dipanjangkan kepada anggota ATM.

    Anggota ATM yang berumur 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bukan sahaja bakal menikmati FGCR yang telah dinaikkan daripada maksimun 150 hari kepada 160 hari, bahkan anggota terbabit juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan, kemudian bakinya akan dibayar selepas tamat perkhidmatan.

    “Makluman awal bahawa sedikit masa lagi Ministry of Defence (MINDEF) akan mengumumkan perancangan baharu dalam usaha menambahbaik aspek pendidikan anak-anak warga ATM di seluruh negara secara holistic, merangkumi penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat-pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif lain.

    “Bagi veteran ATM pula, selain daripada pembayaran Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM250 seperti Perdana Menteri umumkan baru-baru ini, saya juga ambil maklum bahawa ramai veteran ATM yang komen di media sosial saya mengenai Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM350 yang diumum semasa pembentangan Bajet 2022 tempoh hari belum diterima dan saya telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar mempercepatkan proses pengagihan tersebut.

    “Saya juga amat berterima kasih kepada 77 penyumbang yang menghulurkan sumbangan hari raya dalam pelbagai bentuk kepada para anggota ATM khususnya yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

    Daripada 77 penyumbang, sebanyak 11 penyumbang telah membuat sumbangan berbentuk barangan, manakala 66 penyumbang lagi membuat sumbangan berbentuk kewangan dan lebih bermakna, jumlah sumbangan barangan serta kewangan yang terkumpul kini berjumlah RM1,881,180 yang mana nilainya lebih besar daripada tahun lalu.

    Tahun ini sebanyak 15,000 beg Hari Raya akan diagihkan kepada anggota yang bertugas di perbatasan sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan juga di luar negara di bawah misi Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta di Mindanao, Selatan Filipina di bawah International Monitoring Team (IMT).

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul