Bersama PemimpinSemasa

LKT 2022 Uji Kesiagaan Sistem Persenjataan ATM

NEGERI SEMBILAN: Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 merupakan pendekatan yang selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pelan Strategik MINDEF 2022 serta Kertas Putih Pertahanan iaitu memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

Ia merupakan salah satu daripada pelbagai usaha berterusan yang MINDEF dan ATM laksanakan khususnya sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terus dilengkapi aset-aset yang diperlukan biarpun mendepani era pasca pandemik yang serba mencabar.

Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain selaku penganjur LKT 2022 bertempat di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 21 Jun 2022.

Menteri Kanan Pertahanan berkata dalam isu Helikopter MD 530G, proses perolehan dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) di mana dapat disaksikan serta diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini.

“LKT ini berupaya mempamerkan atur gerak dan keupayaan combat team dalam ketumbukan combined arms melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik bagi memperagakan keberkesanan sistem persenjataan ATM dalam senario pertempuran masa kini di samping memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT),” jelasnya.

Seramai 2,300 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam LKT 2022 dan turut memperagakan 644 buah aset serta persenjataan melibatkan PT91M PENDEKAR, AV8 GEMPITA, AV4 LIPAN BARA, ACV 300 ADNAN dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV), manakala kuasa tembakan menggunakan persenjataan berkaliber kecil dan besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) ASTROS II, Meriam 155mm G5 MK III, Meriam 105mm PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120mm dan 81mm serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40mm).

Selain itu, latihan tembakan turut melibatkan persenjataan peringkat kompeni iaitu Colt M4, Minimi, GPMG, RPG-7 dan Mortar 60 MM, senjata batalion terdiri daripada Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL), manakala pesawat terlibat adalah Helikopter MD 530G dan Agusta A109 LOH dari PUTD, Eurocopter EC-725 CARACAL dari TUDM, Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM.

Helikopter MD 530G yang dikendalikan oleh 883 Skuadron PUTD merupakan aset baharu Tentera Darat (TD) turut mempamerkan keupayaannya buat pertama kali dengan melakukan serangan menggunakan M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.

Di samping itu, dalam segmen tembakan tidak langsung, keupayaan Tactical Display Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini telah dipertontonkan yang mana melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.

Pelaksanaan latihan ini adalah selari dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon dan Riffat Mohd Yusof.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button