Tag: Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain

  • Kutipan Tabung Pahlawan Hargai Pengorbanan Pahlawan Negara

    Kutipan Tabung Pahlawan Hargai Pengorbanan Pahlawan Negara

    KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), Dato’ Sri Muez Abd Aziz merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua persatuan veteran yang terlibat dalam melaksanakan Program Kutipan Tabung Pahlawan.

    “Program Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan oleh 83 persatuan veteran telah berjaya mengumpul dana kutipan persatuan berjumlah RM 3,189,326.83 manakala Program Kesedaran Bersama Masyarakat berjumlah RM 616,000.00 dan kejayaan ini menunjukkan keprihatinan serta pengiktirafan oleh warganegara Malaysia ke atas pahlawan negara khususnya warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Dana kutipan Tabung Pahlawan 2020 termasuk insentif Program Kesedaran Bersama Masyarakat telah diagihkan kepada semua persatuan veteran pada 24 Apr 2021 dan Yayasan Veteran ATM berjumlah RM3,335,053.31 serta hari ini pemberian Dana Matching Grant berjumlah RM RM3,063,836.35 diagihkan sebagai nilai tambah kepada Persatuan Veteran dalam menjayakan Program Kutipan Tabung Pahlawan,” jelas KSU.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Penyerahan Dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada Persatuan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM pada 25 Ogos 2021.

    Agihan dana KTP yang diterima oleh persatuan-persatuan akan dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan Veteran ATM serta tanggungannya yang berkelayakan meliputi Veteran Kelainan Upaya (VKU), bantuan khas kepada balu dan anak-anak dalam kategori OKU, veteran yang terlibat musibah dan bencana alam, bantuan bagi veteran dan balu veteran dalam keadaan daif serta bantuan kebajikan lain kepada veteran-veteran ATM yang memerlukan di seluruh negara.

    KSU juga berharap agar persatuan veteran dapat menjalankan tugas secara profesional, berintegriti dan bergiat aktif dalam berpersatuan serta sentiasa memberikan kerjasama kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).

    Selain itu, beliau juga menyarankan supaya Persatuan-Persatuan Veteran ATM menggunakan dana daripada dana Kutipan Tabung Pahlawan ini sewajarnya kepada para Veteran ATM serta tanggungan yang memerlukan dan pemantauan juga akan dilaksanakan oleh Kementerian dalam memastikan sumber Kempen Tabung Pahlawan mencapai objektifnya.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Kolaborasi JUPEM Dan BGSP Perkukuh Pertahanan TD

    Kolaborasi JUPEM Dan BGSP Perkukuh Pertahanan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melakukan Lawatan Kerja ke Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang dimulakan dengan Kunjungan Hormat ke atas Ketua Pengarah JUPEM, Kol (Kehormat) Dato’ Dr. Azhari Mohamed di Kampung Datuk Keramat pada 16 Jul 2021.

    Acara diteruskan dengan taklimat aturgerak dron yang disampaikan oleh Pengarah Seksyen Operasi Geospatial, Lt Kol Md Khairul Khan Selamat di Bangunan Computer Aided Mapping System (CAMS).

    Selain itu, PTD turut diberi taklimat berkaitan peranan, tugas serta perkembangan terkini Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) yang disampaikan oleh Pengarah BGSP, Brig Jen Sr Dr Mohd Zambri Mohamad Rahab dan taklimat Defence Geospatial Information Management (DGIM) oleh Pengarah Seksyen Pengurusan Maklumat Geospatial, Lt Kol Norazlin Pamuji.

    Lawatan Kerja ini sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan dalam menitikberatkan usaha Tentera Darat (TD) bagi mempertingkatkan keupayaan dan kesiagaan melaksanakan sebarang misi dan operasi.

    Program diakhiri dengan PTD menandatangani Buku Lawatan dan disusuli penyampaian cenderahati.

    Turut hadir, Ketua Jurutera TD, Mej Jen Dato Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan dan Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Hamzah Ali.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • KPD Terima Pengerusi Baharu

    KPD Terima Pengerusi Baharu

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyaksikan Serah Terima Tugas Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) di Wisma Perwira Tentera Darat pada 14 Jul 2021.

    Acara dimulakan dengan menandatangani Nota Serah Menyerah di antara Mej Jen Meor Anuar Shuhaili Mohd Ramli dan Mej Jen Ezani Abdullah selaku Pengerusi KPD yang baharu.

    Mantan Pengerusi KPD akan menamatkan perkhidmatan pada Jan 2022 setelah 41 tahun menabur bakti pada perkhidmatan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Abdul Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Program Transisi Kerjaya Dan Pembangunan Kendiri Tonjol Potensi Diri Sebenar

    Program Transisi Kerjaya Dan Pembangunan Kendiri Tonjol Potensi Diri Sebenar

    SELANGOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) dalam membantu Sel 3 Psikologi dan Kaunseling Cawangan Sumber Manusia (CSM) Markas Tentera Darat (MK TD) bagi membuka minda bakal-bakal pesara anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat (TD) mengenal pasti potensi diri yang sebenar serta membuat pemilihan bidang kemahiran yang bersesuaian.

    “Adalah menjadi tanggungjawab saya selaku ketua perkhidmatan ini bagi melihat sedalam-dalamnya tentang isu yang sering dialami oleh pesara TD masa kini terutamanya berkaitan dengan kelangsungan hidup setelah bersara daripada perkhidmatan keramat ini.

    “Saya tidak mahu melihat saudara sekalian menjadi sebahagian daripada mereka yang dahulu telah dihimpit dengan kesempitan hidup dan akhirnya ditularkan di media sosial dan media tempatan,” jelas PTD.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Penutup Program Transisi Kerjaya dan Pembangunan Kendiri Bakal Pesara TD di Kem Tun Ibrahim Kajang pada 28 Jun 2021.

    Seramai 100 anggota LLP TD yang terpilih dalam Projek Perintis Kerjaya Kedua, memulakan langkah awal sebagai persediaan bergelar pesara dengan menghadiri Program Transisi Kerjaya dan Pembangunan Kendiri yang dilaksanakan mulai 25 sehingga 28 Jun 2021.

    PTD berharap agar program ini akan menjadi titik tolak kepada semua peserta program berkenaan untuk mengenal pasti potensi dan keupayaan diri sebenar sebelum melangkah ke alam persaraan.

    Selain itu, beliau juga berharap semoga ilmu dan pengetahuan yang diperolehi sepanjang program kendiri ini dapat menjamin matlamat utama dan mencapai objektifnya.

    Pelaksanaan program sebegini seiring dengan penetapan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang amat menitikberatkan kebajikan kepada warga TD termasuk bakal pesara.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Projek Perintis Kerjaya Kedua Sediakan Khidmat Konsultasi dan Latihan Buat Bakal Pesara TD

    Projek Perintis Kerjaya Kedua Sediakan Khidmat Konsultasi dan Latihan Buat Bakal Pesara TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain memandang serius terhadap kehidupan bakal-bakal pesara Tentera Darat (TD) sebelum memulakan langkah baru di luar kerana TD memandang berat kepada anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang akan menamatkan khidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menjalani kursus peralihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) lalu akan menjalani kehidupan sebagai pesara tentera.

    “Saban waktu kita diterjah dengan isu-isu pesara atau veteran dihimpit dengan kesempitan hidup sehingga tular di media-media sosial mahupun media tempatan dan saya memandang perkara tersebut dengan penuh prihatin dan simpati di atas nasib yang menimpa warga veteran terutamanya veteran TD.

    “Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Konsultan Ernst & Young pada tahun 2021, seramai 2,057 daripada 85 peratus pesara TD yang menamatkan perkhidmatan pada tahun 2020 menerima pencen bulanan dengan purata pencen sebanyak RM 1,800 sebulan dan ianya jelas berada di bawah paras had pendapatan garis kemiskinan negara iaitu sebanyak RM 2,208.00.

    “Oleh itu, saya tidak mahu warga TD terutamanya warga veteran berada di dalam kemiskinan bagi meneruskan sisa hidup mereka selepas memerah keringat dan kudrat di dalam perkhidmatan dan TD serius menyokong aspirasi kerajaan yang telah dinyatakan melalui kertas putih pertahanan iaitu untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi pesara tentera atau veteran dengan membantu mendapatkan peluang kerjaya kedua, menyediakan perkhidmatan konsultasi dan latihan peralihan.

    “Selain itu, program perintis kerjaya kedua ini merupakan satu idea bagi memperkasakan kerjaya yang diurus selia oleh PERHEBAT melalui fungsi-fungsi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM yang bertujuan untuk mempersiapkan pesara TD dalam menghadapi cabaran getir arus kehidupan di luar perkhidmatan dan menyarankan supaya memilih kursus-kursus yang bersesuaian dengan minat serta kemampuan diri,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika menghadiri Projek Perintis Kerjaya Kedua Anggota LLP TD di Dewan Dato’ Jamil pada 22 Jun 2021.

    Kumpulan perintis ini melibatkan seramai 100 anggota LLP dari pelbagai kor bukan teknikal serta hasil perkembangan proses persaraan dan halatuju individu yang telah terpilih untuk menyertai kumpulan perintis tersebut akan dipantau sendiri oleh PTD.

    Dalam menjayakan projek berkenaan, beberapa agensi terpilih terlibat secara langsung dalam  memainkan peranan lebih pro aktif dalam menyalurkan informasi terkini berkaitan pasaran dan peluang pekerjaan, antara agensi yang akan mengambil bahagian adalah JHEV dan PERHEBAT.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Anwar Abdullah.

  • ATM Akan Buka Enam Buah PPV Secara Pandu Lalu – Menteri Kanan Pertahanan

    ATM Akan Buka Enam Buah PPV Secara Pandu Lalu – Menteri Kanan Pertahanan

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited untuk membuka enam buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu sebagaimana yang diumumkan beliau pada 3 Jun 2021 lalu.

    Beliau menjelaskan bahawa vaksinasi secara pandu lalu ini mudah dan cepat, kerana penerima vaksin hanya perlu melalui beberapa tempat yang disediakan tanpa perlu turun daripada kenderaan serta dapat mengurangkan risiko jangkitan semasa pengambilan vaksin.

    “Melalui pelaksanaan program vaksinasi secara pandu lalu ini, kita dapat meningkatkan jumlah penerima vaksin iaitu seramai 1,000 hingga 1,500 orang dalam tempoh lapan jam, berbanding pemberian vaksin secara statik iaitu sekitar 300 hingga 500 orang sahaja dalam tempoh operasi yang sama.

    Beliau berkata demikian semasa sidang media yang diadakan semasa tinjauan ke PPV secara pandu lalu di Kem Perdana Sungai Besi pada 8 Jun 2021.

    Seramai 1,200 individu meliputi warga tentera, keluarga dan kakitangan awam yang bekerja di Kementerian Pertahanan serta penghuni kediaman di Kem Perdana Sungai Besi telah disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin dalam program kali ini.

    “Pada hari ini, kita melancarkan Program Vaksinasi pandu lalu dengan menjadikan Kem Perdana Sungai Besi ini sebagai lokasi perintis program yang diadakan selama dua hari”, jelas Menteri Kanan Pertahanan.

    Tambah beliau lagi, ATM juga menawarkan bantuan kemudahan logistik bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar Vaksin COVID-19 ke seluruh negara khususnya di kawasan pedalaman bagi memudahkan rakyat.

    Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa, Kementerian Pertahanan akan memohon peruntukan vaksin tambahan dari pihak KKM dan pembekal vaksin, PharmaNiaga Sdn Bhd sebanyak 500 hingga 600 ribu bagi memastikan keseluruhan warga ATM serta ahli keluarga mendapat suntikan vaksin.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan diberi taklimat ringkas mengenai pengoperasian serta melihat dengan lebih jelas pelaksanaan program vaksinasi ini dengan diiringi oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

    Program vaksinasi ini adalah sejajar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), yang mensasarkan 80 peratus populasi rakyat Malaysia divaksin, sekaligus memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

    Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikhmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Buang TUDM.

    Gambar: Pbt Mohammad Shafirin Mohd Radzi

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

  • TD Peroleh Bas Penumpang Baharu

    TD Peroleh Bas Penumpang Baharu

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan  Pemeriksaan Bas 44 Penumpang yang diterima Tentera Darat (TD) di bawah Perolehan Rolling Plan bertempat di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP) pada 3 Jun 2021.

    Sebaik ketibaan PTD, majlis dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DRB Hicom Defence Technologies Sdn Bhd, Mohd Fazley Ariffin yang mana TD menerima sebanyak enam buah bas bagi kegunaan organisasi TD.

    PTD kemudiannya dibawa menaiki Bas 44 Penumpang tersebut bagi merasai pengalaman sesi pandu uji kenderaan lalu diteruskan dengan simbolik acara penyerahan Replika Kunci Bas kepada PTD.

    Penerimaan aset baharu ini bertepatan dengan salah satu Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28, Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan iaitu penumpuan kepada perolehan serta penyelenggaraan aset-aset bagi memastikan kesiagaan tempur TD berada pada tahap terbaik untuk sebarang atur gerak operasi.

    Turut hadir, Panglima Logistik TD, Mej Jen Muhammad Ariff Soo Abdullah dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mej Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi

    Gambar: Pbt Mohammad Shafirin Mohd Radzi

     

  • 9 RAJD dan 11 RAJD (MEK) Bina Jambatan Ringankan Beban Penduduk Sekitar Jerantut

    9 RAJD dan 11 RAJD (MEK) Bina Jambatan Ringankan Beban Penduduk Sekitar Jerantut

    PAHANG: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa kerajaan memandang berat permasalahan penduduk setempat di Daerah Jerantut akibat jambatan lama yang menghubungkan jalan utama penduduk Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap telah rosak serta tanah mendap yang teruk.

    Akibat dari kerosakan itu beliau telah mengarahkan Tentera Darat (TD) bersama agensi kerajaan lain membantu membina jambatan bagi meringankan beban penduduk setempat.

    “Pembinaan Jambatan Compact Bailey 100 ini bertujuan memudahkan penduduk Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap agar dapat menghantar anak-anak ke sekolah di Felda Padang Piol dan juga hasil sawit serta getah ke tempat pengumpulan di Bandar Jerantut.

    “Selain itu, jambatan ini dibina sebagai jambatan sementara yang kukuh selama 20 tahun dan akan dibuka semula selepas jambatan kekal siap dibina oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Lawatan Kerja ke Projek Pembinaan Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat, Jerantut, pada 8 Mei 2021.

    Pada masa yang sama, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain turut mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, merasmikan Pembukaan Laluan Jambatan Compact Bailey 100.

    Projek pembinaan jambatan ini adalah hasil kerjasama Skuadron Ke-9 Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 RAJD) dan Skuadron Ke-11 RAJD (Mekanize) (11 RAJD (Mek)) dengan kerjasama pihak JKR serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikoordiansi oleh pihak NADMA.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan turut mendengar taklimat mengenai projek pembinaan jambatan ini oleh Komander Rejimen Jurutera Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kol Mohd Hanapiah Harun dimana pembinaan jambatan ini adalah sepanjang 24 meter dan lebar lima meter yang melibatkan dua pegawai dan 58 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

    Struktur jambatan sedia ada telah mengalami kerosakan teruk pada struktur jalan akibat tanah mendap dan jambatan tersebut terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas oleh JKR Jerantut pada 24 Mac 2021 manakala bagi aset pembinaan Jambatan Compact Bailey 100 telah digerakkan dari Kem Terendak pada 27 Apr 2021 yang lalu.

    Bantuan kepada rakyat oleh TD ini dengan kerjasama daripada JKR selari dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 yang memberi penekanan terhadap Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Jurutera TD, Mej Jen Dato Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Masjid Baharu Buat Warga TD Kem Syed Sirajuddin

    Masjid Baharu Buat Warga TD Kem Syed Sirajuddin

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Perasmian Masjid As-Solihin sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pemerintahan Barat Tentera Darat (PMBTD) di Gemas pada 6 Mei 2021.

    Terdahulu, ketibaan PTD dan isteri disambut oleh pegawai-pegawai kanan, lalu beliau menyempurnakan Perasmian Masjid As-Solihin dengan menandatangani plat perasmian.

    Masjid yang telah siap dibina sepenuhnya pada 17 Feb 2019 ini didaftarkan pada 28 Ogos 2020 untuk diisytiharkan sebagai masjid dan mampu menampung jemaah seramai 1500 orang.

    Sebelum berbuka puasa, PTD berkesempatan melakukan acara gimik tembakan meriam dengan mencucuh kayu yang dibakar api pada meriam.

    Program diteruskan dengan PTD menyertai jemaah yang hadir untuk menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

    Di samping itu, PTD turut menyempurnakan acara pemberian sumbangan Sinar Kasih,
    Tabung Musaadah dan Tabung Zakat Anggota Tentera Malaysia (ATM) kepada 27 penerima.

    Program ini selari dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menekankan keperluan kebajikan dan kesejahteraan warga.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Warga TD Imarah Ramadhan Dengan Tadarus

    Warga TD Imarah Ramadhan Dengan Tadarus

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) di Masjid As-Solihin, Gemas pada 6 Mei 2021.

    Majlis ini bertujuan untuk mengimarahkan Ramadhan dengan bacaan Al-Quran serta memperkukuhkan kerohanian dalam kalangan warga TD.

    Program yang bermula dari 1 hingga 23 Ramadhan 1442 Hijrah ini melibatkan seramai 70 peserta tadarus daripada pelbagai formasi.

    Acara dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan bacaan Al-Quran oleh peserta tadarus yang diketuai oleh Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD).

    Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh PTD kepada wakil formasi pasukan yang terdiri daripada MK TD, MK 3 Div, MK PLTD, MK PLDTD, MK 10 Bgd (Para) dan 21 GGK.

    Pelaksanaan program seumpama ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang memberi penekanan terhadap aspek pengukuhan kerohanian warga TD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul