Tag: Mej Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab

  • Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela Dan Tauliah Kehormat AW

    Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela Dan Tauliah Kehormat AW

    KUALA LUMPUR: Seramai 57 Pegawai Kanan Sukarela, Tauliah Kehormat dan Pegawai Sukarela Tauliah Baharu Askar Wataniah (AW) terlibat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela dan Tauliah Kehormat AW yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan bertempat di Dewan Tanjung, Wisma Tansit Kuala Lumpur (WTKL) pada 26 Okt 2023.

    PTD mengucapkan tahniah di atas kenaikan pangkat dan merupakan pengiktirafan oleh TD serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada para pegawai yang terlibat.

    Selain itu pangkat yang disandang hadir bersama amanah, tanggungjawab dan tugas yang harus dipikul dengan sebaik-baiknya.

    “Peranan dalam Rejimen Askar Wataniah peringkat negeri mahupun Rejimen adalah untuk membantu ganti angkatan tetap dalam mempertahankan kepentingan strategik negara, membantu dalam operasi keselamatan dan bersedia untuk dimobilisasi apabila diperlukan serta membantu bekerjasama dengn pihak berkuasa awam semasa kecemasan dan bencana alam.

    “Askar Wataniah juga berperanan menjadi penghubung antara rakyat dan tentera sebagaimana yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

    “Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Askar Wataniah, TD akan turut melibatkan mereka dalam latihan bersama perkhidmatan lain dan agensi kerajaan serta latihan bersama Tentera Negara Asing bertujuan untuk menerapkan elemen Kebersamaan dan Kebolehoperasian di kalangan pegawai dan anggota Sukarela untuk meningkatkan tahap kesiagaan menghadapi sebarang kemungkinan dan ancaman” kata PTD.

    Majlis diakhiri dengan acara bergambar sebelum diteruskan jamuan makan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Abdul Rahman A.Wahab.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • 60 Tahun RRD Kekal Di Landasan Yang Kukuh

    60 Tahun RRD Kekal Di Landasan Yang Kukuh

    PERAK: Pengerusi Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mej Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab merakamkan ucapan penghargaan kepada mantan-mantan Pengerusi RRD sebelum ini yang bertungkus lumus dalam mengemudi rejimen agar kekal berada di landasan yang kukuh serta menjadi semakin matang setanding dengan rejimen lain yang berada dalam kor Infantri.

    “Dalam usaha bersama menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, saya menyeru agar semua warga Rejimen Renjer Diraja untuk meletakkan iltizam dan komitmen tinggi serta memperkukuhkan kesetiaan kepada pucuk pimpinan Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya.

    “Saya selaku penyambung legasi Pengerusi Rejimen Renjer Diraja akan terus berusaha memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan demi memastikan kesinambungan kecemerlangan dapat diteruskan,” jelasnya.

    Tambah beliau lagi, Jabatan Arah Infantri sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan setiap pasukannya termasuklah RRD dalam aspek sumber manusia, persenjataan, mobiliti dan perhubungan.

    Mej Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab juga berharap agar kajian berterusan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan mobiliti, logistik dan perhubungan agar kesiagaan dapat dipertingkatkan sehingga mampu beroperasi pada tahap ancaman tertinggi.

    Di samping itu, memiliki sistem persenjataan canggih tidak mencukupi bagi menyediakan kesiagaan ketumbukan pada tahap tertinggi kerana pengoperasian semua sistem persenjataan perlu didukung oleh sumber manusia iaitu warga tentera yang cekap, terlatih dan mampu menguasai atur gerak semua persenjataan tersebut.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT), RRD Ke-60 di Padang Kawad Utama Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 30 Sep 2023 yang melibatkan seramai 15 pegawai dan 321 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) gabungan Batalion-Batalion RRD.

    Pengerusi mengakhiri ucapan dengan menyeru semua warga RRD untuk terus menimba ilmu pengetahuan khususnya ilmu-ilmu ketenteraan masa kini.

    “Penguasaan ilmu-ilmu ketenteraan pastinya bakal meningkatkan sebarang informasi yang diperlukan dan juga akan memudahkan pelaksanaan latihan serta eksesais dengan hasil penuh berkualiti,” tegasnya.

    Sambutan HUT RRD diserikan lagi dengan acara memotong pulut kuning dan jamuan makan di Dewan Pasukan.

    Turut hadir, Panglima 30 Bgd, Brig Jen Yazid Yusuf dan Mantan-mantan Pengerusi RRD.

    Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • PTD Ke-29 Melawat Kawasan Operasi KTJ 5 Div

    PTD Ke-29 Melawat Kawasan Operasi KTJ 5 Div

    SABAH: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman mengadakan Lawatan Ulung ke kawasan operasi di bawah naungan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) pada 6 Apr 2023.

    Ketibaan beliau disambut oleh Panglima 5 Div, Mej Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab sebelum diteruskan dengan sesi taklimat operasi.

    Sempena lawatan ulung ini, beliau meluangkan masa melawat pegawai dan anggota yang sedang beroperasi.

    Selain itu, beliau turut meninjau dan melihat sendiri keadaan prasarana, kesiagaan serta permasalahan semasa yang berlaku di kawasan operasi.

    Dalam lawatan ini juga, PTD turut menyerahkan sumbangan Ihya Ramadan dan beg raya kepada anggota operasi.

    Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia