Tag: Pengarah Gerak Khas

  • Perbarisan Penghargaan Mej Jen Nubli Hj Hashim

    Perbarisan Penghargaan Mej Jen Nubli Hj Hashim

    MELAKA: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyempurnakan Perbarisan Penghargaan Mej Jen Nubli Hj Hashim di Padang Kawad Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) pada 6 Nov 2023.

    TPTD mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti, jasa dan pengorbanan yang disumbangkan kepada organisasi Tentera Darat (TD) amnya dan Rejimen Gerak Khas (RGK) khasnya.

    Disepanjang perkhidmatan, beliau menjana semangat kewibawaan kepada warga RGK serta dapat membentuk keperibadian yang terpuji dalam diri masing-masing dan membantu RGK kekal sebagai sebuah rejimen yang unggul dan kredibel.

    Perbarisan ini berkonsepkan Perbariaan Statik yang berkekuatan seramai 18 pegawai dan 171 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada 5 Detasmen iaitu Detasmen Markas 21 Gerup Gerak Khas (MK 21 GGK), 11 RGK, 21 KDO, 22 KDO dan PULPAK yang diketuai oleh Kol Ahmad Huzaini Zainudin.

    Ketibaan TPTD disambut oleh Panglima MK 21 GGK, Mej Jen Adi Ridwan Abdullah sebelum diteruskan dengan jamuan makan serta penyampaian cendera kenangan dan diakhiri dengan acara Street Lining oleh warga KPTD.

    Turut hadir, Pengarah Gerak Khas, Brig Jen Mohd Fouzi Sulaiman, Ketua Staf Am MK 21 GGK, Brig Jen Ahmad Shuhaimi Mat Wajab dan Pegawai Memerintah/Pemerintah GGK.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • 79 Penuntut Terima Beret Hijau Komando

    79 Penuntut Terima Beret Hijau Komando

    MELAKA: Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah berpesan bahawa keagungan Beret Hijau yang dipakai perlulah sentiasa dipelihara kerana ianya merupakan maruah dan kebanggaan Gerak Khas.

    “Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan.

    “Syabas dan tahniah di atas kejayaan saudara yang lulus dalam kursus ini serta seluruh dunia telah memperakui bahawa Kursus Asas Komando memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang paling tinggi,” jelas Panglima 21 GGK.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2023 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang pada 19 Ogos 2023.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan pertunjukan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan serta persembahan Seni Silat Gayong sebelum disusuli dengan sesi ramah mesra Panglima 21 GGK bersama keluarga penuntut kursus.

    Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan serta kesiagaan Trup Tentera Darat (TD) khususnya Rejimen Ke-11 Gerak Khas (11 RGK) dan 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain sebagai perisai pertahanan negara.

    Panglima 21 GGK kemudian menyempurnakan acara Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando melibatkan seramai 19 pegawai dan 59 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pelbagai kor TD.

    Acara turut diserikan dengan penyampaian hadiah bagi Penuntut Terbaik yang dinobatkan kepada Lt M Mohd Saiful Al-Fikri Rosli dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD).

    Upacara perbarisan diteruskan dengan lafaz ikrar 12 Sumpah Perajurit Komando dan penyerahan bendera kepada Ketua Cawangan Komando sebagai tanda berakhirnya kursus.

    Turut hadir, Ketua Staf 21 GGK, Brig Jen Suhaimi Mat Wajab, Pengarah Gerak Khas, Brig Jen Mohd Fouzi Sulaiman dan Komandan PULPAK, Kol Zolkinine Yunus.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Beret Hijau Lambang Maruah Dan Kebanggaan Gerak Khas – Panglima 21 GGK

    Beret Hijau Lambang Maruah Dan Kebanggaan Gerak Khas – Panglima 21 GGK

    MELAKA: Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mej Jen Nubli Hj Hashim berpesan bahawa keagungan Beret Hijau yang dipakai perlulah sentiasa dipelihara kerana ianya merupakan maruah dan kebanggaan Gerak Khas.

    “Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” tegas beliau.

    Panglima 21 GGK berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2022 di Pantai Betutu Laut, Sg Udang pada 4 Jun 2022.

    Tambah beliau lagi, kursus ini merupakan titik permulaan perkhidmatan dalam Rejimen Gerak Khas dan masih mempunyai ruang yang luas untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan bagi memantapkan lagi keunggulan pasukan serta pertahanan negara.

    “Syabas dan tahniah kepada saudara sekalian di atas kecekalan dalam mengharungi pelbagai pahit getir dan cabaran yang menguji keupayaan, ketabahan serta kesabaran selama 12 minggu kursus berlangsung,” katanya.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan pertunjukan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan, lalu disusuli sesi ramah mesra Panglima 21 GGK bersama keluarga penuntut kursus.

    Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan serta kesiapsiagaan trup TD amnya dan 11 RGK serta 21 GGK khususnya sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain sebagai perisai pertahanan negara.

    Seterusnya, beliau menyempurnakan acara Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando yang melibatkan seorang pegawai dan 122 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pelbagai kor Tentera Darat (TD).

    Acara turut diserikan dengan penyampaian hadiah Penuntut Terbaik yang dinobatkan kepada Lt M Mohamad Imran Mohamad Rusni dari Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) (1 RAD (Para)).

    Upacara perbarisan diteruskan dengan lafaz ikrar 12 Sumpah Perajurit Komando dan penyerahan bendera kepada Ketua Cawangan Komando sebagai tanda berakhirnya kursus.

    Seramai hampir 800 pengunjung termasuk ahli keluarga penuntut hadir untuk menyaksikan acara bersejarah ini setelah dua tahun ia diadakan secara tertutup berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara.

    Pelaksanaan perbarisan rejimental ini seiring dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Pengarah Gerak Khas, Kol Mohd Fouzi Sulaiman, Komandan PULPAK, Kol Zulkinine Yunus dan Veteran Komando.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Riffat Mohd Yusof